Orang tengah kaut untung, penduduk Sabah kekal miskin - IDS

KOTA KINABALU - Kitaran ekonomi yang tidak berkembang serta kebergantungan kepada orang tengah dikenal pasti antara punca kemiskinan yang berlarutan dalam kalangan komuniti khususnya di lapan daerah di negeri ini yang disenarai sebagai termiskin di Malaysia.
Keadaan ini menyebabkan penduduk terus memperoleh pendapatan yang rendah, manakala keuntungan sebenar dinikmati oleh pihak ketiga yang bertindak sebagai orang tengah.
Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, itu antara dapatan kajian yang dijalankan IDS di beberapa daerah.
"IDS sudah menjalankan kajian di lapan daerah, sebahagiannya telahpun selesai seperti daerah Kota Belud, Kota Marudu, Pitas dan Ranau manakala yang selebihnya masih dalam proses kajian.
"Antara hasil daripada kajian, contohnya ada komuniti yang terlibat dalam aktiviti nelayan yang hanya tangkap dan serah ikan kepada orang tengah.
"Jadi pendapatan mereka kecil tetapi orang tengah yang mengambil keuntungan besar.
"Ini yang perlu dilihat dengan serius bagaimana kita membawa hasil mereka supaya betul-betul memberi manfaat dan seterusnya menambah pendapatan komuniti tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka IDS, di sini pada Khamis.
Katanya lagi, kajian tersebut juga bertujuan mengenal pasti pendekatan baharu untuk membantu komuniti terlibat keluar daripada kitaran kemiskinan melalui pemerkasaan keusahawanan.
"Sudah tiba masanya satu pendekatan baharu diterapkan bagi memastikan hasil laut bukan sahaja dijual dalam bentuk mentah, tetapi turut dimajukan melalui aktiviti hiliran seperti pemprosesan makanan laut, produk sejuk beku dan makanan kering," katanya.
Tambah Azizah lagi, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan turut perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membina kapasiti komuniti setempat agar mereka boleh terlibat secara langsung sebagai usahawan.
Beliau turut menekankan bahawa kelemahan infrastruktur, akses terhad serta tahap pendidikan yang rendah merupakan antara penyumbang utama kepada kemiskinan, khususnya di kawasan luar bandar.
"Ada kampung-kampung itu seperti di Kota Marudu terlalu jauh dan terpencil. Itu secara langsung menjadikan mereka tidak dapat menjual produk yang dihasilkan, kalau ada produk pun, kos terlalu tinggi untuk dibawa keluar.
"Walaupun mereka kaya dengan tanah dan hasil, tetapi tidak dapat menjadikannya pulangan ekonomi kerana hanya berlegar sesama mereka. Ini antara perkara yang kita kemukakan supaya fasiliti dan infrastruktur itu dapat diperbaiki.
"Malah mereka yang duduk jauh ini juga tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya disebabkan kemiskinan dan akses ke sekolah-sekolah.
"Jadi ramai yang tidak meneruskan pendidikan anak-anak mereka, dan sudah tentu ini menyebabkan kitaran kemiskinan itu berterusan," katanya.
Menyedari hakikat itu, Azizah menegaskan bahawa semua faktor berkenaan perlu diberi perhatian serius dalam usaha membebaskan masyarakat luar bandar daripada kepompong kemiskinan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!