Pasang kolar satelit pantau gajah elak dibunuh kejam

Seekor gajah menjadi mangsa pembunuhan kejam.
Seekor gajah menjadi mangsa pembunuhan kejam.
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah merancang untuk memasang kolar satelit pada gajah Pygmy Borneo, khususnya di kawasan Maliau Basin, Tawau bermula Mei depan sebagai usaha memantau pergerakan dan memastikan keselamatan haiwan tersebut daripada menjadi mangsa pembunuhan kejam.

Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, selain pemasangan kolar, rondaan turut dipertingkatkan di kawasan Kalabakan bagi membendung insiden pembunuhan gajah berulang.

"Kita akan mewujudkan pasukan peronda di Kalabakan dan mengawasi pergerakan gajah ini.

"Buat masa sekarang kita tidak tahu di mana keberadaan kumpulan gajah tersebut kerana gajah di Kalabakan ini tiada yang memakai kolar.

"Jadi kita merancang untuk meletakkan kolar dalam Mei ini. Jika ada kolar mudah untuk kita boleh mengawasi pergerakan mereka menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Hari Hidupan Liar Sedunia, di sini pada malam Rabu.

Mengulas mengenai siasatan kes pembunuhan gajah baru-baru ini, beliau berkata kejadian itu dipercayai bukan dilakukan secara bersendirian.

"Memang kita sudah mengenal pasti suspek tetapi kita tiada bukti untuk mengaitkannya, jadi kita perlu cari dulu.

"Walaupun kita ada beberapa suspek sebab berdasarkan siasatan ia tidak boleh dilakukan seorang diri dan kita perlu cari masa yang betul untuk membuat tangkapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, meskipun tiada komunikasi rasmi dengan negara jiran, JHL tetap berkongsi maklumat melalui rakan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan usaha perlindungan haiwan liar.

"Setakat ini kita tidak berkomunikasi secara langsung dengan negara jiran, tetapi melalui komunikasi kita sebelum ini dengan rakan NGO kita memang ada berkongsi maklumat.

"Dalam masa sama, kita juga mendapat bantuan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk melakukan rondaan dan pemantauan terhadap aktiviti pemburuan gajah ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tiga ekor gajah telah dibunuh dan dipenggal kepalanya yang berlaku sekitar Januari hingga Mac lalu.

Susulan kejadian itu, ganjaran sebanyak RM10,000 ditawarkan kepada mana-mana individu yang tampil memberikan maklumat sehingga membawa kepada penangkapan dan pendakwaan pihak yang bertanggungjawab dalam kes pembunuhan gajah tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!