Ustaz Muhaimin janji jadi suara pendesak rakyat

TAPAH - Calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek percaya mampu menjadi suara pendesak yang kuat dalam mencari penyelesaian masalah rakyat jika diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Beliau berkata, dengan kemenangan PN, pembangkang mampu menjalankan peranan sebagai wakil rakyat dengan baik dan berkesan dalam menyuarakan isu rakyat.
"Kita bentang lima tawaran T.E.K.A.D kita dan antara fokus dalam tawaran kita itu adalah isu-isu alam sekitar, kesihatan yang kita kumpulkan sedari awal turun padang menyantuni penduduk.
"Kerusi ke-27 yang akan diisi nanti mudah-mudahan kita akan menjadi kuasa semak dan imbang yang kuat dalam persidangan DUN. Kita akan menjadi suara pendesak terkuat.
"Saya bersedia untuk menjadi pemudah cara kepada seluruh rakyat di DUN ini. Segala permasalahan yang boleh kita selesaikan, kita akan selesaikan selain turun naik pejabat jumpa EXCO, jumpa pihak berwajib untuk pastikan permasalahan dibangkitkan itu selesai," katanya ketika berucap pada Ceramah Grand Finale PRK Ayer Kuning di Taman Golf, Bidor pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Abd Muhaimin berkata, kemenangannya di PRK Ayer Kuning membuka laluan mudah kepada PN memerintah negeri dan Perak kelak.
"Kita akan pastikan peratusan keluar mengundi Sabtu ini menjadi yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya.
"Kita telah santuni kesemua pusat daerah mengundi dan berbaki kurang 24 jam lagi, seluruh kawasan akan merasai sentuhan kasih sayang kita untuk pastikan kemenangan ini nanti," katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan saingan tiga penjuru antara Abdul Muhaimin, Dr Mohamad Yusri Bakir daripada Barisan Nasional (BN) dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM)..
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola persahabatan di Pulau Pinang, pada 22 Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!