Paradoks ekonomi Malaysia pasca pandemik: Malaysia ekonomi berkembang, kuasa beli rakyat berkurang

Perang perdagangan global yang berlarutan akan meningkatkan tekanan kepada pertumbuhan ekonomi, dan juga inflasi terhadap barangan import, khususnya makanan. - Gambar hiasan
Perang perdagangan global yang berlarutan akan meningkatkan tekanan kepada pertumbuhan ekonomi, dan juga inflasi terhadap barangan import, khususnya makanan. - Gambar hiasan
A
A
A

TIGA tahun selepas pandemik berakhir, ekonomi negara menunjukkan kemajuan yang ketara.

Namun, walaupun penunjuk makroekonomi mencatatkan prestasi memberangsangkan, cabaran masih wujud dalam memastikan pemulihan ini benar-benar meningkatkan taraf hidup rakyat.

Ekonomi negara, berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) - berkembang sebanyak 16 peratus sejak 2019 dan pelaburan bagi tahun 2024 mencecah RM378.5 bilion — tertinggi dalam sejarah dan hampir 15 peratus lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Pelaburan langsung asing (FDI) pula meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh lima tahun kepada RM174 bilion pada 2024, menandakan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Sektor pelancongan, antara penyumbang utama pendapatan negara, hampir pulih sepenuhnya.

Tahun lepas, Malaysia menerima 25 juta pelancong antarabangsa — bersamaan 96 peratus daripada jumlah ketibaan pada 2019. Dasar visa bebas untuk pelancong banyak membantu, dengan ketibaan dari China meningkat 123 peratus dan India 69 peratus.

Muhammed Abdul Khalid
Muhammed Abdul Khalid

Pasaran buruh turut menunjukkan pemulihan. Kadar pengangguran menurun kepada 3.2 peratus pada 2024, berbanding 3.3 peratus pada 2019 dan 4.6 peratus pada 2020.

Gaji bulanan penengah sektor swasta meningkat kepada RM2,745 pada September 2024, naik 12 peratus berbanding Disember 2019.

Artikel Berkaitan:

Gaji minimum mandatori yang ditetapkan kerajaan turut meningkat daripada RM1,000 pada 2019 kepada RM1,700 pada Februari 2025.

Perkembangan positif ini meningkatkan keyakinan pelabur. Pasaran saham (KLCI) melonjak hampir 13 peratus tahun lalu, antara yang terbaik di rantau ini.

Penyenaraian baharu turut meningkat, dengan 55 syarikat disenaraikan — tertinggi dalam tempoh 19 tahun.

Tahun ini, pertumbuhan ekonomi dijangka berterusan, walaupun pada kadar yang lebih perlahan akibat faktor luaran terutamanya kerana perang dagang.

Pertumbuhan ekonomi dipacu oleh permintaan domestik, disumbang antaranya peningkatan 13 peratus gaji minimum, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berterusan (RM12 bilion dikeluarkan menerusi Akaun 3 dalam separuh kedua tahun lalu), peningkatan 30 peratus bantuan tunai kerajaan, dan kenaikan gaji penjawat awam antara 7 hingga 15 peratus.

Namun begitu, di sebalik trend makroekonomi yang memberangsangkan, kuasa beli rakyat makin berkurangan, terutamanya yang berpendapatan rendah.

Pertama, penting untuk difahami bahawa pertumbuhan ekonomi tidak semestinya mencerminkan peningkatan taraf hidup yang lebih baik.

Sebagai contoh, Bintulu di Sarawak — daerah terkaya di Malaysia dengan KDNK per kapita tertinggi setara dengan Jerman, dan Lojing di Kelantan mencatat KDNK per kapita setanding dengan Rusia dan Turki, namun, di Lojing, kadar kemiskinan melebihi 30 peratus, menunjukkan jurang antara pertumbuhan ekonomi dan pengagihan kekayaan yang adil.

Kedua, walaupun kadar pengangguran kelihatan rendah, isu kadar guna tenaga tidak penuh (under-employment) amat membimbangkan. Pada suku ketiga 2024, seramai 37 peratus graduan pendidikan tinggi — sekitar 1.95 juta individu — adalah underemployed, meningkat 1.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ini mencerminkan kekurangan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, apabila hanya 17 peratus daripada pekerjaan baharu adalah pekerjaan mahir, jauh lebih rendah untuk menampung 287,000 graduan setiap tahun.

Maka, ramai dari graduan ini bekerja di sektor tidak formal– jumlah pekerja di sektor tidak formal meningkat daripada 17 peratus pada 2016 kepada 22 peratus pada 2023.

Ketiga, meskipun gaji pekerja meningkat, tetapi setelah ditolak inflasi dan kos sara hidup, pertumbuhan gaji sebenar adalah negatif, menjejaskan ramai pekerja berpendapatan rendah dan graduan baharu.

Sebagai contoh, gaji penegah nominal graduan baharu pada tahun lepas adalah RM1,747, lebih rendah daripada RM2,112 pada 2019— kejatuhan 17.3 peratus apabila mengambil kira faktor kos inflasi.

Bagi pekerja berumur bawah 24 tahun pula, gaji nominal menurun daripada RM1,580 kepada RM1,544.

Golongan berpendapatan rendah paling terkesan, dan kuasa beli mereka teruk merosot walaupun ekonomi negara berkembang. Harga makanan — yang merangkumi lebih separuh daripada perbelanjaan isi rumah berpendapat rendah — meningkat 17 peratus, jauh melebihi pertumbuhan gaji nominal purata sebanyak 7 peratus.

Keempat, makin ramai pekerja Malaysia mempunyai simpanan yang rendah, berbading tahun 2019. Laporan Tahunan KWSP tahun 2024 menunjukkan bahawa walaupun simpanan purata meningkat 24 peratus antara 2019 dan 2024 (kepada RM110,00), simpanan penengah merosot 14 peratus.

Dengan kata lain, separuh daripada pencarum KWSP kini mempunyai simpanan lebih rendah berbanding sebelum pandemik, menurun daripada RM36,000 kepada RM31,000.

Dalam kalangan pekerja Melayu, lebih 70 peratus kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun persaraan mereka — mereka pasti miskin apabila tua kelak.

Ini tidak mengejutkan kerana semasa pandemik, kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan persaraan — satu kesilapan yang tidak wajar dibuat dan diulangi.

Jumlah keseluruhan pengeluaran dari KWSP mencecah RM120 bilion, majoritinya oleh golongan berpendapatan rendah.

Kelima, kos sara hidup kekal sebagai cabaran utama. Rakyat akan terus merasakan peningkatan kos sara hidup, terutamanya apabila peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula Mei ini.

Tarif elektrik akan naik 15 peratus bermula Julai 2025, diikuti penghapusan berperingkat subsidi bahan api dalam separuh kedua tahun ini.

Walaupun dikatakan oleh setengah pihak bahawa golongan rendah tidak akan terkesan, pandangan ini jahil mengenai ekonomi.

Gabungan dasar terdahulu seperti kenaikan SST dari 6 kepada 8 peratus (2023), cukai 10 peratus ke atas barangan bernilai rendah, dan kenaikan harga diesel sebanyak 53 peratus — semua ini terus menghakis kuasa beli isi rumah.

Perang perdagangan global yang berlarutan akan meningkatkan tekanan kepada pertumbuhan ekonomi, dan juga inflasi terhadap barangan import, khususnya makanan.

Kerajaan menegaskan bahawa langkah reformasi fiskal tidak membebankan majoriti isi rumah, bantuan tunai yang lebih tinggi - melibatkan hampir sembilan juta penerima diberikan, dan hanya 15 peratus teratas (T15) — atau seperti disebut Perdana Menteri, golongan "mahakaya" — yang akan terkesan.

Namun, siapakah "mahakaya" atau golongan T15 ini? Di Kuala Lumpur, pendapatan isi rumah bulanan RM19,000 layak untuk tergolong dalam kategori ini, tetapi di Baling, Kedah, hanya RM5,400 sahaja.

Ini bermakna pasangan guru muda di Baling boleh dianggap “mahakaya” mengikut definisi ini — sama taraf dengan tauke tauke besar!

Dalam jangka pendek, pertumbuhan ekonomi dijangka berdepan cabaran yang getir.

Pertumbuhan domestik akan terjejas akibat kesan tarif, dan kelembapan ekonomi Amerika — pengimport utama Malaysia — akan memberi kesan besar. China — rakan dagang terbesar Malaysia — juga dijangka mencatat pertumbuhan yang perlahan.

Risiko jangka panjang dalam negara juga mencabar, termasuk perubahan demografi serta pembangunan modal insan yang lemah, terutamanya berkaitan kesihatan kanak-kanak.

Walaupun akses kesihatan di Malaysia hampir menyeluruh, 1 daripada 10 kanak-kanak dilahirkan dengan berat yang rendah, dan 1 daripada 5 mengalami bantut pada usia lima tahun.

Lebih membimbangkan, 6 daripada 10 murid sekolah berisiko obesiti — tertinggi di rantau ini. Isu kekurangan zat makanan ini memberi ancaman jangka panjang kepada pembangunan modal insan, daya saing ekonomi dan produktiviti, serta menekan sektor kesihatan awam.

Ketidaksamaan yang berterusan, gaji yang rendah, dan ketidakpadanan pekerjaan membuktikan bahawa pertumbuhan semata-mata tidak mencukupi tanpa pembaharuan struktur yang bermakna.

Ketika kos sara hidup terus menekan, kebergantungan terhadap langkah dasar jangka pendek perlu dinilai semula.

Risiko jangka panjang berkaitan demografi dan modal insan pasti menghalang kemajuan masa depan sekiranya tidak ditangani segera.

Walaupun campur tangan kerajaan setakat ini memberi kelegaan sementara, dasar yang mampan amat penting bagi membina ekonomi yang lebih saksama dan berdaya tahan.

Paling penting, bagi mencapai pertumbuhan jangka panjang yang mampan dan inklusif, selain dasar yang kukuh, keyakinan pelabur adalah penting.

Polisi dasar yang jelas dan konsisten, institusi bebas yang kuat, serta tadbir urus yang bersih tanpa pemimpin yang dicalit rasuah merupakan tiga prasyarat utama untuk membina keyakinan pelabur — sama ada asing mahupun tempatan — demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang benar-benar membawa manfaat kepada semua lapisan rakyat.

*Penulis ialah Felo Penyelidik di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) di UKM dan juga Felo di World Inequality Lab di Paris School of Economics, Perancis.

Artikel ini adalah versi lanjutan daripada ulasan asal yang diterbitkan oleh S Rajaratnam School of International Studies (RSIS), sebahagian daripada projek penyelidikan bersama Program Malaysia di RSIS, Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!