Kuasa beli penjawat awam meningkat, mampu belanja lebih

Penjawat awam berterima kasih kepada kerajaan Madani di atas pelaksanaan pelarasan gaji yang dilakukan selepas 12 tahun tanpa semakan. (Gambar kecil: Mohamad Khair) Gambar hiasan
Penjawat awam berterima kasih kepada kerajaan Madani di atas pelaksanaan pelarasan gaji yang dilakukan selepas 12 tahun tanpa semakan. (Gambar kecil: Mohamad Khair) Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kenaikan gaji penjawat awam selepas pelarasan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan meningkatkan kuasa beli secara langsung.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, ia kerana berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM), perbelanjaan isi rumah merupakan penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu melebihi 50 peratus.

Menurutnya, dengan pendapatan boleh guna yang lebih tinggi, penjawat awam mampu untuk berbelanja lebih dalam kategori seperti makanan, pakaian, pendidikan dan kesihatan.

“Ini bukan sahaja memberi manfaat buat individu, tetapi juga meningkatkan permintaan domestik. Penambahan tersebut dijangka merangsang sektor utama ekonomi terutamanya perniagaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) yang menyumbang 39.1 peratus KDNK bersamaan RM613.1 bilion pada 2023.

“Bukan itu sahaja, pertumbuhan sektor ini mencatatkan kadar lima peratus melebihi pertumbuhan KDNK keseluruhan Malaysia pada 3.6 peratus,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, penjawat awam yang memilih SSPA menerima kenaikan gaji pertama selepas pelarasan di bawah skim tersebut.

Bagaimanapun, Mohamad Khair Afham berpandangan, langkah sedemikian berpotensi menimbulkan beberapa cabaran dan risiko terutamanya dalam bentuk inflasi.

Katanya, peningkatan permintaan domestik yang tidak diimbangi dengan penawaran mencukupi boleh menyebabkan tekanan kepada harga barang dan perkhidmatan.

“Ini boleh menghakis kuasa beli tambahan penjawat awam sekali gus mengurangkan keberkesanan kenaikan gaji. Selain itu, implikasi terhadap kewangan kerajaan juga tidak boleh diabaikan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam Bajet 2024, kerajaan memperuntukkan lebih RM80 bilion untuk pembayaran gaji dan pencen penjawat awam. Perbelanjaan besar ini meningkatkan defisit fiskal yang dianggarkan lima peratus daripada KDNK.

“Jika pendapatan kerajaan tidak meningkat seiring, ia boleh memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara dan mengehadkan kemampuan kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar pembangunan yang lain,” ujar beliau.

Justeru, katanya, kerajaan perlu fokus kepada peningkatan produktiviti penjawat awam melalui program latihan dan pembangunan kemahiran.

Tambahnya, produktiviti tinggi akan memastikan kenaikan gaji dapat menyumbang kepada prestasi sektor awam yang lebih baik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!