Insiden serangan anjing bukan kes terpencil

Laporan Sinar Harian berkaitan serangan anjing Rottweiler.
Laporan Sinar Harian berkaitan serangan anjing Rottweiler.
A
A
A

INSIDEN serangan dua ekor anjing Rottweiler terhadap lima individu di Taman Desa Bidara, Kuala Ketil, Baling pada hari raya kedua yang lalu bukan sahaja menggemparkan negara, malah membuka mata banyak pihak mengenai keselamatan awam.

Ia turut membangkitkan tanggungjawab pemilik haiwan peliharaan dalam kejiranan masyarakat berbilang kaum. Walaupun dilihat umpama kes terpencil, namun impaknya terhadap mangsa amat besar.

Serangan anjing bukan sahaja melibatkan kecederaan fizikal, malah kesan trauma psikologi turut menjadi kebimbangan. Pengalaman diserang haiwan ganas itu boleh meninggalkan kesan emosi mendalam dan berpanjangan terutama kepada kanak-kanak serta warga emas.

Dalam kes tersebut, pemilik anjing, Chong Shen Chong, 69, telah didakwa atas lima pertuduhan kerana kecuaiannya membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran sehingga mencederakan orang lain.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM8,500, satu jumlah yang agak tinggi dan menunjukkan pihak berkuasa serius menangani isu tersebut.

Walaupun pemilik tidak dikenakan hukuman penjara kerana faktor usia, masalah kesihatan dan kemurungan yang dialaminya, tindakan undang-undang tetap diambil sebagai amaran serta pengajaran kepada semua pihak.

Dua anjing Rottweiler terbabit dilupuskan mengikut peraturan sedia ada. Ia adalah tindakan pencegahan yang tegas dan perlu diambil. Kes tersebut turut membangkitkan persoalan sejauh mana pemilik haiwan di negara ini benar-benar faham tentang tanggungjawab mereka?

Anjing peliharaan bukan sekadar teman setia tetapi juga haiwan yang berpotensi mencederakan jika tidak dijaga dengan betul. Pemilik haiwan wajib memastikan kawalan sepenuhnya terhadap haiwan mereka termasuk pagar yang selamat, latihan kendiri dan pemantauan rapi.

Artikel Berkaitan:

Tidak dapat dinafikan dalam sesetengah keadaan, anjing peliharaan juga boleh bertindak ganas secara tiba-tiba. Wajar untuk kita mengambil pendekatan lebih berhati-hati kerana malang sememangnya tidak berbau.

Walaupun sudah lama dipelihara dan kelihatan jinak, anjing tetap merupakan haiwan yang bertindak berdasarkan naluri, dan menunjukkan tingkah laku agresif apabila berasa terancam, terganggu atau terlalu teruja.

Sebahagian besar kes serangan anjing yang dilapor melibatkan keadaan tidak dijangka. Ramai pemilik menyatakan mereka tidak pernah menyangka haiwan kesayangan akan bertindak sedemikian.

Sebagai sebuah negara majmuk, kita memerlukan masyarakat yang sentiasa peka terhadap sensitiviti pelbagai kaum dan latar budaya. Dalam kebanyakan komuniti, terdapat individu yang fobia atau tidak selesa dengan kehadiran anjing, apatah lagi yang berkeliaran bebas.

Oleh itu, nilai kejiranan perlu ditanam dalam diri setiap pemilik haiwan agar keselamatan, ketenteraman dan keharmonian kejiranan sentiasa terjaga. Kejadian itu juga menunjukkan perlunya semangat komuniti — jiran tetangga bukan sahaja perlu peka terhadap persekitaran tetapi bertindak segera jika terdapat sebarang potensi ancaman. Tindakan pantas pihak berkuasa dan komuniti setempat mampu mengelak situasi menjadi lebih buruk.

Selain anjing peliharaan, anjing liar juga menjadi ancaman dan tidak boleh dipandang ringan. Sekumpulan anjing liar berkeliaran bukan sesuatu yang asing terutama di kawasan perumahan atau kampung.

Kehadiran haiwan tersebut boleh menyebabkan ketakutan, kecederaan dan dalam kes tertentu, penyebaran penyakit. Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu mempertingkatkan penguatkuasaan serta program kawalan haiwan liar secara berterusan.

Insiden serangan anjing Rottweiler perlu dijadikan pengajaran bersama. Ia bukan hanya membuka ruang untuk menilai semula tahap kesedaran masyarakat terhadap tanggungjawab sebagai pemilik haiwan, malah kepentingan menjaga sensitiviti kejiranan dan keperluan memperkukuhkan mekanisme ka-walan serta pencegahan pihak berkuasa.

Trauma dialami mangsa tidak akan terubat hanya dengan denda mahkamah atau pelupusan haiwan. Ia menuntut tindakan menyeluruh dan kesedaran kolektif agar kejadian sama tidak berulang.

Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih 4,000 kes gigitan anjing dilaporkan setiap tahun, menunjukkan risiko serangan tidak boleh dipandang ringan. Lebih membimbangkan, lebih separuh daripada kes berlaku dalam rumah sendiri atau melibatkan anjing dikenali mangsa.

Roslinda Hashim ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Utara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!