Tubuh RCI, audit forensik siasat pencerobohan tanah - Pembangkang

Tuan Ibrahim (tengah) bersama ADUN mewakili Perikatan Nasional selepas berakhirnya persidangan DUN Pahang pada Selasa.
Tuan Ibrahim (tengah) bersama ADUN mewakili Perikatan Nasional selepas berakhirnya persidangan DUN Pahang pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN – Pembangkang di Pahang mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan pelaksanaan audit forensik bagi menyiasat isu pencerobohan tanah kerajaan serta hutan simpan kekal di negeri ini secara menyeluruh.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini telah turun padang melakukan tinjauan udara ke kawasan yang diceroboh, namun langkah lebih telus dan bebas amat diperlukan.

“RCI ini satu badan bebas yang menyiasat daripada punca awal bagaimana ia berlaku sehingga ribuan ekar tanah tidak dikuasai selama lebih 40 tahun dan kita ucap terima kasih kepada tindakan yang dibuat sekarang.

“Tapi RCI ini perlu untuk diwujudkan, di samping audit forensik yang lebih lengkap untuk kita mengetahui berapa keluasan tanah kerajaan, tanah hutan simpan kekal yang telah diceroboh,” katanya ketika mengadakan sidang akhbar di Wisma Sri Pahang di sini pada Selasa.

Menyentuh isu pemilikan tanah oleh penduduk lama khususnya di Sungai Lembing, Tuan Ibrahim berkata, tidak sepatutnya dikenakan sewa walaupun telah tinggal di situ sejak berdekad lamanya.

“Kita bayangkan, penduduk sudah beranak cucu di situ, tiba-tiba dapat notis tanah perlu bayar sewa.

"Sepatutnya mereka ini diberi penghargaan, bukan dikenakan bayaran,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka berkata, kerajaan Pahang perlu membezakan antara penceroboh yang melakukan kegiatan berskala besar untuk keuntungan dengan penduduk yang menggunakan tanah untuk tempat tinggal dan kehidupan harian.

“Penceroboh yang mengaut keuntungan itu memang salah dan perlu diambil tindakan.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi situasi berbeza bagi mereka yang duduk di situ untuk meneruskan kehidupan. Jadi pendekatan juga perlu berbeza,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar kerajaan negeri menerima teguran daripada pembangkang secara terbuka tanpa bersikap defensif.

“Bila kita menegur, jangan anggap kita ini cari salah. Kita bawa pandangan yang berbeza sebagai pembangkang, itu peranan kita.

"Nak terima atau tidak, itu hak kerajaan, tetapi biarlah teguran diterima dengan hati terbuka,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!