'Riuh satu rumah bila 14 beradik berkumpul'

SHAH ALAM – Setiap keluarga mempunyai cerita tersendiri, namun kisah keluarga besar dari Selayang terdiri daripada 14 beradik mencuri perhatian ramai apabila gambar kenangan mereka tular di media sosial baru-baru ini.
Perkongsian yang dibuat oleh salah seorang daripada ahli keluarga itu mendapat pelbagai reaksi positif dan komen yang menyentuh hati.

Anak kedua daripada 14 beradik, Nur Afifah Faizah Mohd Rafie, 32, berkata, mereka dibesarkan oleh bapa, Mohd Rafie Tibek, 62, yang bekerja sebagai peniaga manakala ibu, Noorafizah Abdul Aziz, 54, sebagai peguam syarie.
"Walaupun keluarga kami besar, umi dan baba tak pernah mengeluh. Sesibuk mana pun umi, dia tetap pastikan keperluan kami semua dipenuhi.
"Baba pula seorang bapa yang sangat bertanggungjawab, sampai boleh dianggap sebagai 'best friend'," katanya kepada Sinar Harian.
Malah katanya, zaman kanak-kanak mereka dipenuhi warna-warni dan sentiasa riuh apabila membesar bersama adik-beradik yang ramai.
"Setiap hari kami seperti pesta kecil, apatah lagi apabila tiba musim perayaan.
“Setiap kali nak raya, kami akan keluar ramai-ramai cari baju dan barang keperluan.
"Hari raya pula, rumah kami riuh ada yang berebut 'iron', berebut tandas.
"Biasanya lelaki akan ke masjid untuk solat raya, manakala kami perempuan siapkan juadah,” katanya.
Katanya, selepas solat Aidilfitri mereka yang berpakaian sedondon akan bersesak di ruang tamu untuk bersalaman dengan umi dan baba.
"Satu lagi tradisi keluarga, kami ada sambutan hari jadi bulanan. Adik-beradik yang lahir dalam bulan yang sama akan diraikan bersama dan setiap ahli keluarga akan memberi hadiah kepada yang diraikan.
"Walaupun kek cuma satu tapi tangan yang menyuap ramai. Kadang-kadang lilin padam sendiri sebab semua berebut nak hembus.
"Hadiah pula memang tak mewah tapi kenangan yang kami cipta bersama itulah yang paling berharga," tambahnya.
Katanya lagi, walaupun kini ramai yang sudah berkeluarga dan bekerja, mereka tetap akan mencari masa untuk berkumpul dan pergi bercuti sebagai satu keluarga besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!