15 tahun tunggu jejambat Persiaran Mokhtar Dahari

SHAH ALAM – Penduduk mempersoalkan tempoh pelaksanaan pembinaan jejambat di Persiaran Mokhtar Dahari di sini yang dicadangkan sejak kira-kira 15 tahun lalu, susulan kemalangan berulang dan kesesakan lalu lintas di laluan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Badrulhisham Shahbudin berkata, cadangan penyelesaian itu perlu diberi perhatian serius berikutan laluan itu menjadi antara akses utama pengguna dari Puncak Alam, Puncak Perdana, Meru, Saujana Utama dan kawasan perumahan sekitarnya ke Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH).
Menurutnya, penduduk bukan sahaja mengharapkan pembinaan jejambat sebagai penyelesaian jangka panjang, malah mahu tindakan segera dilaksanakan bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya sementara menunggu projek itu direalisasikan.
"Dari dahulu kami minta pelebaran jalan dan pembinaan jejambat kerana kami melihat itu antara penyelesaian yang diperlukan.
"Namun, sampai sekarang kami ingin tahu bila perkara ini akan dilaksanakan," katanya ketika ditemui semasa mengadakan perhimpunan aman di kawasan lapang lampu isyarat Alam Budiman di sini pada Jumaat.
Terdahulu, kira-kira 100 penduduk Alam Budiman dan kawasan perumahan sekitar mengadakan perhimpunan aman di tepi Persiaran Mokhtar Dahari bagi mendesak pihak berkuasa mempercepatkan penyelesaian isu keselamatan di laluan itu.
Perhimpunan berlangsung selama kira-kira 30 minit itu turut menarik perhatian apabila pesera mengusung replika jenazah serta mempamerkan beberapa replika kubur sebagai simbolik kepada kemalangan maut yang didakwa kerap berulang di jalan tersebut.
Sebahagian peserta turut mengangkat sepanduk bagi menyuarakan kebimbangan serta desakan terhadap keselamatan pengguna jalan raya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim memaklumkan, sebanyak RM128 juta lagi diperlukan bagi melaksanakan kerja naik taraf laluan itu termasuk menambah baik empat persimpangan utama bagi menangani masalah kesesakan di laluan berkenaan.
Izham berkata, pelaksanaan projek itu dirancang menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) sehingga 2030 secara berperingkat antaranya melancarkan aliran trafik sebelum jalan itu dinaik taraf daripada dua kepada tiga lorong bagi setiap arah.
Pengerusi Penduduk Greenhill Resident, Mohd Zailani Johari, 57, berkata, kira-kira 30,000 pengguna kenderaan menggunakan laluan itu pada setiap hari terutama pada waktu puncak pagi dan petang.
Katanya, kesesakan pada waktu tertentu menyebabkan perjalanan pengguna mengambil masa sehingga sejam, sekali gus membebankan mereka yang berulang-alik ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah.
Menurutnya, penduduk turut membangkitkan isu keselamatan susulan beberapa kemalangan yang berlaku sepanjang Oktober termasuk kejadian membabitkan kenderaan berat.
"Penduduk mahu langkah keselamatan dilaksanakan segera kerana kita tidak boleh hanya menunggu pembinaan jejambat, sedangkan pengguna masih berdepan risiko ketika melalui jalan ini.
"Kita berharap pihak berkuasa dapat mengkaji langkah jangka pendek seperti penambahbaikan keadaan jalan, sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan," jelas beliau.
Beliau berkata, penduduk juga mengharapkan pihak berkuasa memberikan penjelasan mengenai status cadangan itu antaranya tempoh pelaksanaan dan perancangan yang sudah dibuat.
"Tindakan dan pelaksanaan ini penting supaya penduduk mendapat kepastian mengenai penyelesaian terhadap isu keselamatan dan kesesakan yang sekian lama dibangkitkan," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

