Persiaran Mokhtar Dahari perlu RM128 juta bagi kerja naik taraf - Exco Selangor

SHAH ALAM – Sebanyak RM128 juta lagi diperlukan bagi melaksanakan kerja naik taraf Persiaran Mokhtar Dahari di sini termasuk menambah baik empat persimpangan utama bagi menangani masalah kesesakan di laluan berkenaan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, pelaksanaan projek itu dirancang secara berperingkat menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang berlangsung sehingga 2030.
Menurutnya, antara perancangan utama ialah melancarkan aliran trafik di laluan itu sebelum jalan terbabit dinaik taraf daripada dua kepada tiga lorong bagi setiap arah.
"Kita mahu pastikan laluan dua lorong ini lancar terlebih dahulu sebelum dinaik taraf kepada tiga lorong bagi setiap arah.
"Selain itu, kita juga merancang menaik taraf empat persimpangan termasuk pembinaan jejambat, tetapi pelaksanaannya memerlukan masa," katanya ketika ditemui selepas Bengkel Friends of River anjuran Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di sini pada Khamis.
Izham memberitahu, beberapa langkah penambahbaikan segera sudah dilaksanakan antaranya membaik pulih persimpangan, lampu isyarat dan lampu jalan bagi meningkatkan keselamatan serta kelancaran trafik.
Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan projek berskala besar mengambil masa kerana membabitkan proses pengalihan kabel dan paip utiliti, selain kemungkinan keperluan pengambilan tanah.
"Kerja mengalihkan utiliti sahaja kadangkala mengambil masa sehingga setahun, namun jika membabitkan pengambilan tanah, prosesnya mungkin lebih panjang.
"Kita sudah mengenal pasti tindakan yang boleh dilaksanakan segera, manakala projek lebih besar perlu dibuat secara berperingkat," jelas beliau.
Beliau berkata, kerajaan negeri memahami kesulitan pengguna jalan raya dan akan terus meneliti langkah yang boleh dilaksanakan bagi menambah baik laluan berkenaan.
Dalam pada itu, Izham mengingatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi papan tanda dan had kelajuan serta tidak memandu secara berbahaya bagi mengelakkan kemalangan.
"Peningkatan kapasiti jalan dan penambahbaikan persimpangan memerlukan perancangan serta pelaksanaan yang teliti bagi memastikan masalah kesesakan dapat ditangani," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

