TownHall Rakyat: Pentas orang 'Lepih' kemuka aduan, jumpa MB Pahang

SHAH ALAM - Program TownHall Rakyat Sinar Harian bersama Menteri Besar Pahang yang dijadual berlangsung pada 26 Oktober ini membuka ruang komunikasi secara langsung antara warga Kuala Lipis dengan Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail bagi membolehkan segala permasalahan masyarakat diketengahkan untuk tindakan lanjut.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, rakyat bukan sahaja mahu aduan setempat diangkat dan diberi jalan penyelesaian, mereka juga ingin mengetahui sejauh mana hasil pembangunan negeri dapat diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan dan taraf hidup penduduk.
Zamri menambah, penduduk Kuala Lipis tidak perlu segan-silu untuk bertanyakan soalan kepada Menteri Besar Pahang memandangkan edisi sebelum ini pernah mendapat perhatian ramai disebabkan respons pantas pemimpin kerajaan negeri itu.
"Sebagai contoh ketika program TownHall Rakyat Sinar Harian yang berlangsung di Kuantan, penduduk membangkitkan masalah banjir kilat di kawasan perumahan Taman Indera Sempurna.
"Susulan aduan tersebut, Menteri Besar Pahang terus meminta agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengadakan tinjauan di lokasi terbabit serta mengambil tindakan segera.
"Pendekatan itu memperlihatkan peranan TownHall Rakyat Sinar Harian bukan sekadar medan pembentangan pencapaian kerajaan negeri, malah saluran untuk mendengar suara rakyat dan mengenal pasti isu yang memerlukan perhatian serta tindakan susulan," katanya kepada pemberita pada Khamis.
Program yang dijadual diadakan selama satu jam 30 minit itu juga bersiaran 'live' serentak di semua platform digital Sinar Harian pada jam 8.30 malam dari Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis.
Menurut Zamri, program tersebut merupakan edisi ketiga anjuran Sinar Harian dengan kerjasama Unit Komunikasi Strategik Pahang dalam menyantuni rakyat negeri itu di mana sebelum ini diadakan di Karangkraf Shah Alam pada 17 Januari 2025 manakala di Kuantan pada 11 November tahun sama.
"Edisi ketiga ini kita berkampung di Kuala Lipis pula dan kelainannya sudah tentulah dari segi lokasi serta sasaran penonton.
"Berbeza dengan program lain, TownHall Rakyat merupakan pentas pemimpin negara terutamanya Menteri dan Menteri Besar membentangkan kad laporan masing-masing secara terus kepada rakyat.
"Rakyat mahu tahu bagaimana kemajuan negeri dapat diterjemahkan kepada kesejahteraan hidup mereka. Pembangunan memang penting, tetapi rakyat juga mahu merasai manfaat tersebut," ujarnya lagi.
Zamri memaklumkan, terdapat tiga perkara yang mungkin menjadi fokus utama Menteri Besar Pahang dalam penganjuran kali ini.
Sebagai contoh, katanya, kos sara hidup dan pendapatan rakyat termasuk bagaimana peluang ekonomi baharu dapat meningkatkan taraf hidup penduduk.
Selain itu, menurut beliau, kemudahan asas dan pembangunan seimbang, khususnya bekalan air, jalan raya serta keperluan masyarakat luar bandar.
"Beliau juga sudah pasti menyentuh tentang masa depan generasi muda Pahang, terutama peluang pekerjaan berkualiti supaya anak muda tidak perlu berhijrah untuk membina kerjaya masing-masing," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
