Wanita menangis tiga jam gara-gara permintaan tukar tempat duduk tidak dipenuhi

ISTANBUL - Seorang wanita dilaporkan menangis selama tiga jam dalam penerbangan selepas permintaannya untuk bertukar tempat duduk supaya dapat duduk bersebelahan suami ditolak penumpang lain.
Menurut laporan The Indian Express pada Rabu, kejadian itu tular selepas seorang penumpang, Tomiko Harvey berkongsi pengalaman berkenaan menerusi video di Instagram.
Harvey yang merupakan pengarah kreatif pelancongan ketika itu dalam perjalanan pulang dari Kazakhstan menaiki Turkish Airlines, dengan penerbangan sambungan dari Istanbul ke Washington, Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, seorang wanita meminta dia menyerahkan tempat duduk di tepi lorong dan berpindah ke kerusi tengah supaya dapat duduk bersebelahan suaminya sepanjang penerbangan selama 10 jam.
Bagaimanapun, Harvey menolak permintaan tersebut menyebabkan wanita berkenaan mula menangis.
"Dia menangis selama tiga jam. Saya akhirnya bertanya sama ada seseorang telah meninggal dunia kerana siapa yang menangis selama tiga jam?
"Dia menjawab tiada sesiapa meninggal dunia. Dia cuma merindui suaminya dan tertanya-tanya di bahu siapa dia boleh bersandar," katanya.
Ironinya, suami wanita itu duduk dua baris di hadapan, di kerusi tengah dan dilaporkan tidur dengan memakai fon kepala sepanjang penerbangan.
Harvey berkata, wanita terbabit beberapa kali memintanya bertukar tempat duduk, namun dia tetap dengan keputusan asal.
Selepas pesawat mendarat, Harvey secara sinis memuji wanita itu kerana berjaya mengharungi penerbangan selama 10 jam tanpa duduk bersebelahan suami.
Perkongsian berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Ada yang mempertahankan hak Harvey untuk mengekalkan tempat duduknya, terutama jika penumpang sudah memilih atau membayar bagi kerusi tertentu.
Bagaimanapun, sebahagian pengguna mengkritik tindakannya kerana dianggap memperlekehkan emosi wanita berkenaan.
Harvey pula menegaskan, pasangan yang mahu duduk bersama sepatutnya menempah tempat duduk bersebelahan lebih awal atau membayar untuk pemilihan kerusi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

