Puspakom gesa tindakan terhadap penyedia tayar sewaan

SHAH ALAM - Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menggesa tindakan pemantauan dan penguatkuasaan diperluaskan kepada pihak yang menawarkan perkhidmatan tayar sewaan bagi membolehkan kenderaan perdagangan melepasi pemeriksaan berkala.
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata, amalan menggunakan tayar sewaan untuk mendapatkan kelulusan pemeriksaan tidak mencerminkan tahap pematuhan sebenar kenderaan terhadap syarat keselamatan ketika di jalan raya.
Menurut beliau, tujuan pemeriksaan berkala enam bulan sekali adalah untuk menilai sama ada sesebuah kenderaan perdagangan mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan pada masa ujian dijalankan.
"Namun, kami tidak dapat memantau kenderaan tersebut selepas ia meninggalkan pusat pemeriksaan.
"Apabila tayar ditukar selepas ujian, sijil yang kami keluarkan tidak lagi menggambarkan keadaan kenderaan di jalan raya, dan pemandu itu sendiri, serta keluarga dalam kenderaan di belakangnya, yang terpaksa menanggung risiko tersebut.
"Kami menyokong Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menangani isu ini, dan kami berdiri teguh di belakang integriti setiap pemeriksaan yang kami jalankan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, JPJ Pahang berjaya membongkarkan kegiatan menyewakan tayar lori dengan kadar antara RM100 hingga RM150 bagi membolehkan kenderaan melepasi pemeriksaan berkala di Puspakom.
Mahmood berkata, Puspakom komited dalam memelihara integriti pemeriksaan serta menyokong usaha penguatkuasaan bagi menangani amalan yang boleh menjejaskan proses pemeriksaan kenderaan.
Pada masa sama, beliau mengambil maklum pendirian JPJ bahawa agensi berkenaan tidak mempunyai bidang kuasa terhadap premis yang menawarkan perkhidmatan itu dan memohon kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menangani kegiatan terbabit.
"Apabila seseorang pengendali lulus pemeriksaan dengan tayar sewaan, kenderaan tersebut akan gagal semula dalam pemeriksaan berikutnya, melainkan kegagalan itu dapat dikesan sebelum kenderaan kembali digunakan di jalan raya.
"Semua pemilik kenderaan perdagangan dan pengendali armada diminta menjadikan penyelenggaraan kenderaan sebagai satu tanggungjawab yang berterusan, bukan sekadar senarai semak yang dilakukan menjelang tarikh yang dijadualkan," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
