Suami isteri, rakan dicekup jadi 'tangan kotor' along

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kegiatan ganas tiga individu termasuk pasangan suami isteri dipercayai menjadi 'tangan kotor' along akhirnya terbongkar apabila mereka diberkas dalam operasi berasingan pada 8 dan 9 April lalu.
Difahamkan, suspek menerima upah lumayan antara ratusan hingga ribuan ringgit dengan menjalankan kerja-kerja jenayah seperti melempar bom petrol dan menyimbah cat ke rumah peminjam yang gagal melunaskan hutang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang mendakwa hadapan rumahnya di Ampang, Selangor terbakar akibat dibaling bom petrol oleh individu tidak dikenali pada 20 Mac lalu.
"Susulan laporan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya melancarkan operasi khas sebelum berjaya menahan dua lelaki berusia 20 dan 22 tahun di kawasan perumahan di Kepong dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
"Semasa serbuan, polis turut merampas dua telefon bimbit, dua keping kad bank, tiga beg berisi sisa kebakaran dan satu helai nota ugutan," katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Rabu.
Katanya, siasatan mendapati suspek kedua bertindak sebagai orang tengah sindiket along dari Singapura yang menawarkan bayaran antara RM1,000 hingga RM1,500 untuk khianat dengan api dan antara RM600 hingga RM900 untuk khianat simbah cat.
"Suspek ini kemudian mengiklankan 'kerja' tersebut di laman sosial Facebook sebelum mendapatkan 'striker' untuk melaksanakan perbuatan itu dengan bayaran antara RM300 hingga RM800 bergantung kepada jenis serangan.
"Suspek pertama bertindak sebagai 'striker' manakala isterinya pula merakam video kejadian untuk dihantar kepada suspek kedua sebagai bukti sebelum pembayaran dibuat secara pindahan wang," katanya.
Beliau berkata, tangkapan terbabit berjaya menyelesaikan empat kes khianat dengan api dan simbah cat di Ampang Jaya, Kajang, Serdang dan Kuala Langat.
"Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit kedua-dua suspek turut mengesan kaitan dengan tujuh lagi kejadian serupa di Johor, Perak dan Negeri Sembilan," ujarnya.
"Kedua-dua suspek kini direman enam hari untuk siasatan lanjut, manakala isteri suspek pertama telah diikat jamin polis," katanya.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat pinjaman daripada along atau pihak tidak dikenali melalui media sosial.
"Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan ke Hotline JSJ Selangor di talian 010-8495157, MERS 999 atau balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

