Ketua balai ditahan kes dadah tidak diberi layanan istimewa - KPN

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan berlakunya layanan 'pilih kasih' berhubung kes ketua balai yang ditangkap mengambil dadah ketika berpesta di sebuah kelab malam di Pandan Perdana, di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pegawai berpangkat Inspektor itu sudah direman sehari, selepas didapati positif dadah.
Beliau berkata, tiada layanan istimewa diberikan kepada pegawai terlibat ketika mana kesnya disiasat.
"Dia ditahan dan kemudiannya direman semasa pegawai penyiasat menyiapkan kertas siasatan.
"Tindakan untuk memindahkannya ke Pulau Pinang dibuat sebaik sahaja kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC)," katanya pada Rabu.
Razarudin menjelaskan, pegawai terbabit masih berkhidmat dengan PDRM, namun peranannya akan dikurangkan semasa berada di Pulau Pinang sementara polis menunggu arahan lanjut daripada AGC.
Tegas beliau, sekiranya pihak AGC mengarahkan PDRM untuk mendakwanya, tindakan itu akan dibuat tanpa teragak-agak.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana anggota polis yang melanggar undang-undang atau melakukan kesalahan.
"Tindakan tatatertib serta tindakan undang-undang yang tegas menanti mereka yang sengaja melakukan jenayah, sama ada orang awam atau anggota polis.
"Amaran dan nasihat telah diberikan kepada semua kakitangan, sekiranya melanggar undang-undang mereka akan menerima akibatnya," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
