Wardah perkasa nilai spiritual Muslimah melalui sokongan World #QuranHour

SHAH ALAM – Jenama kecantikan berinspirasikan nilai Islam, Wardah, tampil sebagai penaja World #QuranHour 1446H/202. Produk berjenama dari Indonesia ini bukan sekadar memperindahkan luaran, malah memperkasakan dari segi rohani melalui penghayatan al-Quran.
Wakil Wardah, Yuhanis Firza Yusrizal berkata, World #QuranHour membuka ruang untuk masyarakat, terutama golongan Muslimah, mendekati al-Quran dalam suasana kontemporari yang relevan.
Pihak Wardah bekerjasama dengan pihak penganjur, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bagi menyokong World #QuranHour yang diadakan di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, pada 25 Mac 2025.
Sebagai jenama yang mengangkat konsep halal, suci dan kebaikan, Wardah melihat World #QuranHour sebagai platform yang tepat untuk menyampaikan mesej kecantikan berasaskan nilai Islam. Ia memperkukuh misi kami untuk mencipta kebaikan menyeluruh, dari luaran ke dalaman. Ini sejajar dengan visi membentuk komuniti wanita yang berdaya saing, berilmu dan berakhlak.
“Wardah menyokong kempen ini dengan memberi sumbangan dalam bentuk produk kecantikan wanita kepada para peserta dan sukarelawan yang terlibat sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap usaha murni ini.”
Tambah beliau, berpegang pada prinsip “Inspiring Beauty”, Wardah melihat penyertaan mereka dalam kempen berteraskan wahyu ini sebagai satu komitmen untuk memperkasa wanita, khususnya Muslimah moden, agar terus melangkah yakin dengan nilai spiritual yang kukuh.
“Kecantikan bagi kami bukan hanya tentang penampilan, tetapi bagaimana hati dan jiwa dibentuk melalui nilai-nilai kebaikan. Al-Quran adalah sumber tertinggi untuk membentuk jiwa yang tenang, bijaksana dan penuh empati.
“Kami berharap agar para peserta, khususnya golongan muda dan wanita, dapat menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup yang utama. Ia bukan hanya dibaca, tetapi dihayati dan diamalkan. Semoga program ini menyemai kecintaan terhadap ilmu dan membentuk generasi yang lebih berintegriti serta berjiwa besar.”
Menurut Yuhanis Firza, Wardah sangat terbuka dan komited untuk terus menyokong inisiatif yang mengangkat al-Quran sebagai panduan kehidupan. Ia merupakan potensi besar untuk menjadikan kolaborasi ini sebagai sebahagian daripada kempen tahunan yang bukan sahaja menyentuh aspek spiritual, tetapi juga menyatukan komuniti Muslimah dalam ruang yang penuh kasih sayang dan nilai murni.
Penglibatan Wardah dalam World #QuranHour dilihat sebagai langkah strategik yang bukan sahaja memberi impak dari segi penjenamaan, tetapi juga pembangunan komuniti. Program ini membuka ruang kepada wanita Muslimah untuk mendekati al-Quran dalam suasana yang kontemporari dan mesra generasi muda.
“Kami melihat inisiatif ini sebagai medan untuk membina identiti Muslimah moden yang seimbang dari segi kecantikan di laur dan dalaman,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!