Pelajar buat sabun daripada kulit durian, uncang teh

Ainul Inayah (dua dari kanan) bersama tiga pelajar yang menghasilkan sabun daripada kulit durian dan uncang teh. Foto ihsan guru
Ainul Inayah (dua dari kanan) bersama tiga pelajar yang menghasilkan sabun daripada kulit durian dan uncang teh. Foto ihsan guru
A
A
A

SEREMBAN - Kulit durian dan uncang teh biasanya dibuang selepas digunakan, namun sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tuanku Jaafar di sini, menukarkannya menjadi sabun inovatif mesra alam dan berkesan membunuh bakteria.

Malah, projek inovasi yang diberi nama 'Wanderlust' itu juga terbukti mampu merencatkan pertumbuhan bakteria patogen kulit yang menjadi penyebab utama keracunan makanan khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Pelajar SMT Tuanku Jaafar menghasilkan sabun daripada kulit durian dan uncang teh. Foto ihsan guru
Pelajar SMT Tuanku Jaafar menghasilkan sabun daripada kulit durian dan uncang teh. Foto ihsan guru

Guru Pembimbing Kelab Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM), Ainul Inayah Hamzah berkata, inovasi kumpulan 'Jaafar Innovators' itu telah memenangi beberapa pertandingan termasuk di peringkat antarabangsa dan yang terbaharu pada Februari lalu.

“Wanderlust ini dicipta tahun lalu oleh tiga pelajar Tingkatan Lima iaitu Muhammad Naqib Mikail Mohamad Najib, Nur ‘Ain Raihanah Ahmad Nzryshah dan Noorul Aqil Zahirah Noorulzaki dengan kerjasama Institusi Atta-Ur-Rahman, Universiti Teknologi Mara Puncak Alam.

“Ia merupakan sabun pencuci tangan berbentuk tablet yang larut air yang dihasilkan daripada ekstrak kulit durian dan daun teh hijau," katanya.

Sabun pencuci tangan berbentuk tablet yang larut air yang dihasilkan daripada ekstrak kulit durian dan daun teh hijau. Foto ihsan guru
Sabun pencuci tangan berbentuk tablet yang larut air yang dihasilkan daripada ekstrak kulit durian dan daun teh hijau. Foto ihsan guru

Menurutnya, gabungan ekstrak berkenaan menghasilkan bahan yang bersifat antioksidan dan antibakteria.

Tambahnya, ia juga mampu merencatkan pertumbuhan bakteria patogen kulit yang seringkali menyebabkan keracunan makanan iaitu Escherichia coli, Staphylococcus aurus dan Pseudomonas aeruginosa.

Artikel Berkaitan:

“Ia direka dalam bentuk tablet yang larut air bagi memudahkan penggunaan dan dibawa ke mana sahaja.

"Setiap pek mengandungi 30 tablet dan dijual pada harga RM6, manakala pek isi semula mesra alam dijual pada harga RM3, sekali gus mengurangkan penggunaan plastik," katanya.

Sabun dalam bentuk tablet yang mudah dibawa ke mana-mana. Foto ihsan guru
Sabun dalam bentuk tablet yang mudah dibawa ke mana-mana. Foto ihsan guru

Jelasnya lagi, Jaafar Innovators merangkul Gold Award, Top 10 Award dan Best Environmental Award di World Youth STEM Invention Innovation peringkat antarabangsa yang diadakan pada 23 higga 27 Februari 2025 di Medan, Indonesia.

"Malah menerusi Wanderlust ini, kami mendapat Top 30 di Pertandingan Inovasi Sains Teknologi Kejuruteraan peringkat kebangsaan yang diadakan di Multimedia Universiti Cyberjaya pada 3 hingga 6 Februari 2025," katanya.

Ainul Inayah berkata, pada kejohanan di Medan itu juga, dia membentangkan amalan terbaik bertajuk Hubungan Luar Dalam Pembudayaan STEM Menjadi Pemangkin Kemenjadian Murid dan Guru Menguasai Kimia.

"Hasil pembentangan, saya merangkul Gold Award dan Top 25 Award dan turut dianugerahkan International Teacher Award atas kecemerlangan dalam bidang Inovasi STEM sepanjang bergelar guru.

"Kami amat berbangga dengan pencapaian ini. Ia membuktikan bahawa pendidikan STEM mampu melahirkan inovator muda yang kreatif dan berdaya saing," katanya.

Sementara itu, Pengetua sekolah, Ts Sudiman Musa menyatakan bahawa pencapaian itu memberi motivasi kepada pelajar lain untuk terus berinovasi dan meneroka bidang sains dan teknologi.

"Kami akan terus menyokong pelajar dalam menghasilkan projek inovatif yang memberi impak kepada masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!