Musk umum akan kurangkan tumpuan terhadap DOGE

MUSK
MUSK
A
A
A

WASHINGTON - Usahawan jutawan Amerika Syarikat (AS) Elon Musk, mengumumkan bahawa beliau merancang untuk mengurangkan penglibatan dalam Jabatan Kecekapan Kerajaan Amerika Syarikat (DOGE) dan memberi lebih tumpuan kepada syarikat kenderaan elektriknya, Tesla, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Bermula seawal bulan depan, Mei, komitmen masa saya terhadap DOGE akan berkurangan dengan ketara,” kata Musk pada Selasa, seperti dipetik oleh NBC News semasa sesi taklimat kewangan Tesla kepada pelabur Tesla yang bimbang berikutan kejatuhan keuntungan syarikat itu.

Tesla pada Isnin mengumumkan bahawa keuntungan suku tahunannya merosot sebanyak 71 peratus.

Musk, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, dilaporkan mengakui pada Mac bahawa penglibatannya dengan kerajaan AS telah menjejaskan harga saham syarikat itu.

"Saya rasa saya akan terus meluangkan satu atau dua hari seminggu untuk urusan kerajaan selagi presiden mahukan saya berbuat demikian, dan selagi ia memberi manfaat.

Tetapi mulai bulan depan, saya akan memperuntukkan lebih banyak masa untuk Tesla, memandangkan kerja utama menubuhkan Jabatan Kecekapan Kerajaan kini telah selesai,” katanya pada Selasa.

Akhbar The Washington Post pada Isnin melaporkan, memetik sumber yang mengetahui perkara itu, bahawa Musk sedang mempertimbangkan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua DOGE susulan serangan daripada pihak politik berhaluan kiri.

DOGE ditubuhkan menerusi satu perintah eksekutif Presiden AS Donald Trump pada 20 Januari, dengan mandat untuk mengurangkan pembaziran perbelanjaan dan menyusun semula agensi persekutuan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!