Kereta EV bergerak sendiri, cuba parkir 868 kali

BEIJING - Sebuah kereta elektrik (EV) tanpa pemandu di China dilaporkan 'bekerja keras' sepanjang malam apabila berulang kali melakukan percubaan parkir secara automatik di ruang parkir bawah tanah sebuah kawasan perumahan.
Kejadian luar biasa itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan tular di media sosial negara berkenaan.
Pemilik kenderaan kemudiannya menyemak rekod sistem dan mendapati fungsi parkir automatik keretanya telah diaktifkan sebanyak 868 kali.
Rakaman CCTV menunjukkan ia bergerak mengundur tanpa pemandu di dalamnya dengan kejadian dipercayai berlarutan dari tengah malam hingga waktu subuh.
Seorang pengawal keselamatan turut dilihat memerhatikan gelagat luar biasa itu.
Beberapa video lain yang memaparkan kejadian serupa turut tular memaparkan pelbagai model kenderaan melakukan percubaan parkir berulang kali.
Satu klip yang mencuri perhatian menunjukkan dua model kenderaan Avatr 06 dan Avatr 12 melakukan gerakan parkir secara serentak bersebelahan antara satu sama lain.
Kedua-dua kenderaan itu dilihat melakukan gerakan yang hampir sama.
Terdapat tiga kemungkinan yang boleh menjelaskan kejadian itu, antaranya, pemilik mungkin menggunakan aplikasi telefon pintar untuk menggerakkan kereta keluar dari petak parkir sebelum mengarahkannya meletak kenderaan semula.
Selain itu, pencahayaan yang kurang baik atau garisan petak parkir yang semakin pudar mungkin mengganggu sistem parkir automatik.
Kemungkinan lain ialah kerosakan perisian yang menyebabkan kereta berulang kali melakukan percubaan parkir.
Insiden itu turut mencetuskan pelbagai reaksi warganet, dengan sesetengah pengguna media sosial berseloroh kereta itu seolah-olah mengalami gangguan obsesif-kompulsif (OCD) kerana berulang kali mencuba sehingga berjaya parkir dengan sempurna. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

