Pertaruh nyawa berenang sejauh 15km di Selat Hormuz

LONDON - "Hentikan pertempuran, buka semula Selat Hormuz dan bersihkan pencemaran sisa perang."
Mesej jelas itu disampaikan perenang jarak jauh Britain, Lewis Pugh selepas beliau mengharungi perairan bergolak itu bagi menyorot kesan buruk peperangan terhadap alam sekitar.
Pugh, 56, yang juga penaung lautan bagi Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), menyampaikan gesaan itu pada Sabtu selepas berenang sejauh 15 kilometer (km) di perairan berhampiran pantai Oman selama tiga hari pada minggu lalu.
“Setiap hari, kapal tangki minyak, kapal pengangkut gas dan kapal dagang lain menjadi sasaran serangan. Kesan peperangan terhadap alam sekitar pula akan berlarutan sehingga beberapa generasi akan datang,” tulis Pugh menerusi laman webnya.
Pada 16 November lalu, sebuah kapal tangki minyak dibedil beberapa kilometer dari lokasi Pugh berenang, kira-kira 30 minit selepas beliau memasuki laut. Beberapa serangan lain turut dilaporkan berlaku sepanjang misi itu sehingga menyebabkan beberapa kapal terbakar.
Beliau memulakan renangannya dari Semenanjung Musandam sebelum mengelilingi sebahagian Tanjung Hormuz. Kedua-dua lokasi itu terletak di Oman. Iran pula berada di seberang selat berkenaan yang lebarnya hanya 39km pada bahagian paling sempit.
Teheran mula menyekat laluan perairan itu dan menyasarkan kapal-kapal di kawasan berkenaan selepas serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel mencetuskan konflik pada 28 Februari lalu yang berlarutan hingga kini.
“Selat Hormuz jauh lebih penting daripada sekadar laluan perdagangan utama. Ia merupakan antara lokasi paling indah yang pernah saya rentasi. Lumba-lumba, penyu laut dan dugong hidup di perairan ini. Ia adalah antara keajaiban alam semula jadi dunia,” katanya.
Sebelum ini, Pugh pernah melakukan renangan berprofil tinggi di beberapa lokasi seperti Antartika, Kutub Utara dan Laut Merah bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan memastikan perairan kekal bersih serta selamat untuk aktiviti berenang dan menangkap ikan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

