JTK buru majikan syarikat kawalan keselamatan gagal patuh gaji minimum

MELAKA - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati terdapat majikan syarikat kawalan keselamatan di seluruh negara masih berdegil dan gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum RM1,700 yang telah berkuat kuasa mulai 1 Februari lalu.
Ketua Pengarahnya, Kamal Pardi berkata, Operasi Gaji Minimum yang dilakukan serentak di seluruh negara mendapati daripada 68 majikan syarikat yang diperiksa, 22 aduan berkaitan pelanggaran perintah gaji minimum dalam sektor perkhidmatan kawalan keselamatan diterima melibatkan kawasan di sekitar Melaka dan Lembah Klang.
Menurutnya, operasi yang dilakukan selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada pekerja syarikat kawalan keselamatan masih lagi dibayar pada kadar gaji minimum pokok sebelum ini.

Katanya, majikan yang melakukan kesalahan itu dan boleh didenda di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).
"Kita dapati masih ada syarikat bayar gaji minimum kadar lama iaitu RM1,500 sebulan atau RM2,000 termasuk kerja lebih masa.
"Dengan adanya operasi ini kita harap majikan dapat segera patuhi undang-undang Perintah Gaji Minimum RM1,700 dan bayar tunggakan gaji ini bermula gaji bulan Mac dan April," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Gaji Minimum JTK di Mahkota Parade, Banda Hilir di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sepanjang tahun lalu sehingga Mac ini, JTK telah membuka 456 kertas siasatan terhadap syarikat atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta Perintah Gaji Minimum di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Ujarnya, kira-kira 700 denda dan kompaun telah dikeluarkan ke atas majikan keseluruhannnya berjumlah lebih RM2 juta dalam tempoh Januari tahun lalu sehingga Mac tahun ini.
"Jadi majikan daripada bayar denda baiklah bayar gaji minimum kepada pekerja dan patuhi undang-undang.
"Kementerian juga begitu mementingkan kebajikan pekerja dan operasi ini akan diteruskan lagi secara berkala dan setiap bulan," katanya lagi.
Pemeriksaan kali ini melibatkan lebih 100 anggota JTK di seluruh negara dan menyasarkan syarikat kawalan keselamatan selepas menerima banyak aduan berhubung isu gaji dan kebajikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!