Tidak puas hati punca anak majikan bunuh pengawal keselamatan

JAKARTA - Seorang anak majikan ditahan polis selepas disyaki membunuh seorang pengawal keselamatan yang bekerja dengan keluarganya di Kota Bogor di sini, pada Jumaat lalu.
Menurut portal berita Detiknews, suspek tergamak melakukan perbuatan jenayah berkenaan kerana tidak berpuas hati mangsa selalu melaporkan perbuatannya kepada ibu bapanya.
Mangsa dikenali Septian, 37, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di sebuah rumah mewah di sini, segera dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan autopsi.
Difahamkan, kejadian berkenaan telah menyebabkan mangsa mengalami luka di bahagian kepala dan dada akibat penggunaan senjata tajam.
Menurut Ketua Polis Kota Bogor, Pesuruhjaya Eko Prasetyo, anak majikan akhirnya dikenal pasti sebagai suspek selepas pemeriksaan dilakukan.
“Suspek disyaki membunuh kerana tidak berpuas hati mangsa sering mengadu kegiatannya kepada ibu bapa.
“Penahanan suspek telah dilakukan pada Sabtu,” katanya.
Tambahnya, polis juga telah melakukan ujian saringan air kencing terhadap suspek dan mendapati dirinya positif dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!