Jakim arah tarik balik 11 produk Indonesia ada DNA babi

KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memandang serius isu penarikan balik produk makanan oleh pihak berkuasa Indonesia yang dikesan mengandungi DNA babi (porcine), termasuk produk mempunyai sijil halal.
Menurut siaran rasmi Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia pada 21 April, sebanyak 11 ‘batch’ daripada sembilan produk makanan dikesan positif DNA babi, termasuk tujuh produk yang mempunyai pensijilan halal.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee sehubungan itu berkata, pihaknya segera menjalankan pemantauan bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi memeriksa kehadiran produk terbabit di pasaran tempatan.
“Jakim turut mengarahkan pengimport yang berkaitan untuk menghubungi kami serta mengambil tindakan menarik balik produk berkenaan dari pasaran Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, langkah ini adalah sejajar dengan prinsip utama dalam memelihara hak pengguna Muslim serta memastikan integriti sistem pensijilan halal negara sentiasa terpelihara dan diyakini.
Dalam pada itu, Jakim turut menyeru orang ramai agar memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat atau aduan sekiranya menjumpai produk-produk terbabit di pasaran tempatan.
Aduan boleh dikemukakan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JAKIM di pautan berikut: https://islam.spab.gov.my/eApps/system/index.do
“Jakim amat komited dalam memastikan hanya produk yang benar-benar mematuhi piawaian halal dibenarkan berada di pasaran, demi menjaga hak dan kepentingan pengguna Muslim di Malaysia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!