Dedah segera 11 produk Indonesia ada DNA babi - UMNO Sabah

Laporan Sinar harian berkaitan DNA babi dalam 11 produk dari Indonesia. (Awang Aslee)
Laporan Sinar harian berkaitan DNA babi dalam 11 produk dari Indonesia. (Awang Aslee)
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan digesa memperincikan segera senarai produk makanan dari Indonesia yang dikesan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi sekiranya ia berada dalam pasaran tempatan di negeri ini.

Pengerusi Majlis Perhubungan Awam dan Kepenggunaan Komuniti UMNO Sabah, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, kebimbangan timbul memandangkan Sabah bersempadan dengan Indonesia dan tidak mustahil produk dari negara tersebut berada dalam pasaran tempatan.

"Negeri Sabah sangat terdedah dengan kemasukan produk makanan dari Indonesia melalui pintu masuk daerah Tawau.

"Jadi ia perlu didedahkan segera supaya pengguna peka dengan produk yang didapati mengandungi DNA babi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau lagi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, telah pun mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memastikan produk terlibat segera dikeluarkan dari pasaran negara.

"Namun sebaiknya KPDN perlu mengambil langkah drastik sekali gus membuat pengumuman berkaitan perincian produk makanan agar orang ramai terutama pengguna beragama Islam tidak keliru.

"Arahan pengumuman rasmi sudah dikeluarkan oleh Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia berhubung penarikan balik produk terbabit.

"Jadi tindakan segera perlu dilakukan bersama agensi agama peringkat negeri, bersandarkan pengumuman dibuat badan halal Indonesia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Awang Aslee yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort berkata, langkah tersebut penting bagi meredakan kebimbangan pengguna jika produk terbabit masih beredar di pasaran tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!