Pemuda UMNO Maran kesal pihak tiup api sentimen pencerobohan tanah

Mohd Radzi
Mohd Radzi
A
A
A

MARAN – Pemuda UMNO Maran melahirkan kekesalan terhadap tindakan segelintir pihak yang didakwa sengaja meniupkan api sentimen semata-mata untuk meraih simpati berhubung isu pencerobohan tanah secara haram di negeri ini.

Ketua Pemudanya, Mohd Radzi Rahimi berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu dilihat seolah-olah menganggap pencerobohan tersebut sebagai satu bentuk perjuangan.

Menurut beliau, Pemuda UMNO Maran menyokong sepenuhnya titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mahu menoktahkan isu pencerobohan tanah ini secara tuntas.

“Tindakan ini merupakan satu bentuk kezaliman terhadap tanah milik negeri yang telah berlaku sekian lama.

“Janganlah hanya kerana kepentingan politik sempit, hukum diketepikan dan perbuatan yang terang-terangan salah dijulang sebagai perjuangan.

“Lebih mendukacitakan apabila pihak yang sepatutnya menjadi contoh dan pembela kepada undang-undang, sebaliknya memilih untuk menyokong tindakan yang jelas melanggar prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, Pemuda UMNO Maran turut bersetuju dengan ketegasan Sultan Pahang yang menegaskan bahawa tiada sebarang kelulusan baharu akan diberikan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang bagi mana-mana permohonan tanah yang telah diceroboh secara haram.

“Kami bersetuju bahawa prinsip ini tidak boleh dikompromi demi menjunjung kedaulatan undang-undang serta menjaga amanah terhadap negeri dan rakyat.

“Kami juga menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan kerajaan negeri Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam menangani isu ini secara tegas dan berprinsip,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, tindakan tegas yang diambil sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan undang-undang, memelihara kelestarian alam sekitar serta memastikan tanah milik kerajaan tidak diceroboh sewenang-wenangnya.

“Tindakan tegas kerajaan negeri ini memberi mesej yang jelas bahawa kerajaan negeri Pahang tidak pernah tunduk kepada penceroboh.

“Kita semua harus bersetuju bahawa mereka yang menceroboh tanah tidak wajar dilayan seolah-olah mereka adalah mangsa.

“Kerakusan dan kezaliman yang berlaku ini perlu dinoktahkan segera!” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!