Exco Kedah kena minta maaf, lunyai saya dimaki - Rafizi

SHAH ALAM - Seorang Exco Kerajaan Negeri Kedah dituntut tampil memohon maaf kepada rakyat negeri itu selepas didakwa membuat tuduhan tidak berasas berhubung kelulusan projek Kulim Hi-Tech Park (KHTP) Fasa 5.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, tuduhan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra dari Perikatan Nasional (PN), Dr Haim Hilman Abdullah dengan mendakwa kononnya beliau sengaja melengah-lengahkan permohonan kelulusan Notis Perubahan (NoC) dan dikatakan cuba mensabotaj projek kerajaan negeri berkenaan.
Menurut Rafizi, projek KHTP telah diluluskan selepas kerajaan negeri Kedah menarik balik permohonan asal dan mengemukakan permohonan baharu.
Katanya, Kementerian Ekonomi bersikap terbuka sejak dari awal dan hanya menunggu pengesahan bertulis daripada tuan tanah sebelum mempertimbangkan permohonan asal.
“Lunyai saya kena maki sebab kononnya berdendam dan memangsakan rakyat Kedah kerana cuba mensabotaj projek kerajaan negeri.
“Padahal permohonan asal tiada dokumen pengesahan tuan tanah setuju jual tanah. Bayangkan kalau saya luluskan tanpa dokumen penting itu,” katanya dalam satu hantaran video pada Selasa.
Sebelum ini, tular di media sosial beberapa kenyataan Haim Hilman yang mendakwa Kementerian Ekonomi sengaja melengahkan kelulusan projek KHTP Fasa 5 hingga menjejaskan pembangunan di Kedah.
Melalui tuduhan berkenaan, Haim Hilman juga turut mendakwa Rafizi sengaja memangsakan rakyat negeri berkenaan dengan tidak meluluskan permohonan projek baharu untuk pembangunan Kedah.
Rafizi menjelaskan, hanya selepas beliau menjawab tuduhan tersebut barulah kerajaan negeri kembali merujuk kepada kementeriannya dengan dua pengesahan rasmi iaitu penarikan balik permohonan asal dan permohonan baharu dengan skop tanah berbeza.
Beliau berkata, permohonan baharu itu menyaksikan kos keseluruhan meningkat kepada RM362 juta berbanding RM195 juta sebelum ini.
“Berita baik untuk rakyat Kedah, Kementerian Ekonomi telah meluluskan permohonan itu dan KHTP Fasa 5 boleh diteruskan.
“Berita kurang baik pula agensi kerajaan negeri Kedah telah menambah hutang asal RM195 juta yang diberikan Kerajaan Persekutuan, tambah lagi RM180 juta pinjaman sebab kos telah meningkat kepada RM362 juta,” katanya.
Rafizi turut menyatakan, beliau tidak berhasrat untuk memanjangkan isu ini meskipun menjadi sasaran tuduhan tidak berasas di media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!