Tuanku Muhriz mahu kerajaan negeri fokus projek manfaatkan rakyat

SEREMBAN - Yang di-Pertuan Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan kerajaan Negeri Sembilan menjalankan tanggungjawab memimpin negeri menjadi sebuah negeri bersatu, sejahtera dan makmur.
Baginda bertitah, kerajaan negeri perlu memberi memfokuskan usaha kepada projek-projek yang dirangka dan pastikan ia memberi manfaat kepada rakyat.
"Setelah mendapat mandat rakyat, kamu perlu memikul tanggungjawab untuk memimpin rakyat ke arah tersebut.
"Ingatlah bahawa setiap tindakan dan keputusan kamu sentiasa diperhati oleh rakyat. Dengan kemajuan dunia digital tanpa sempadan, segala yang dilakukan mudah diketahui," titahnya pada titah Istiadat Perasmian Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri ke-15 pada Khamis.
Baginda turut menasihatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk berbahas dengan penuh rasional dan intelektual dan memastikan setiap hujah yang dikemukakan memberikan manfaat dan menyelesaikan permasalahan dihadapi rakyat.
"Beta juga mengingatkan Ahli Dewan agar sentiasa menghayati, melindungi, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
"Peraturan-Peraturan Tetap Dewan hendaklah sentiasa dipatuhi semasa berhujah dan sepanjang persidangan berlangsung.
"Berpeganglah kepada prinsip mendahulukan kepentingan dan kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negeri dalam setiap hujah yang disampaikan," titah baginda.
Pada masa sama, baginda berpuas hati dengan pengurusan kewangan Negeri Sembilan yang
mencapai prestasi membanggakan apabila buat julung kalinya mencatat kutipan hasil tertinggi sebanyak RM636.17 juta pada tahun lalu.
Kutipan itu melebihi sasaran awal ditetapkan sebanyak RM520 juta.
"Pencapaian ini diperoleh untuk tahun ketiga berturut-turut. Negeri Sembilan berjaya mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan surplus.
"Pada tahun lalu, defisit RM46.9 juta telah diubah kepada surplus RM83.07 juta. Ini mengukuhkan lagi kedudukan rizab negeri bagi Akaun Hasil Disatukan iaitu daripada RM410.48 juta pada tahun 2023 kepada RM493.55 juta pada tahun 2024," baginda bertitah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

