JBPM beli 16 anjing pengesan K9, babit peruntukan RM2.4 juta

SEREMBAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam proses pembelian 16 ekor anjing pengesan (K9) dari United Kingdom (UK) bagi penggantian anjing telah mencapai had kecerdasan maksimum lapan hingga sepuluh tahun.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pembelian anjing baka Spanish Labrador Ratriever dan English Springer Spaniel itu membabitkan peruntukan RM2.4 juta.

Menurutnya, JBPM kini dalam proses pemilihan haiwan itu bekerja mengikut empat disiplin ditetapkan serta bersesuaian dengan cuaca tropika.
"Di peringkat awal sudah membuat pemilihan 20 anjing dan bulan Jun ini tiga pegawai kita bersama instruktur akan memberi latihan kepada haiwan berkenaan untuk memilih 16 anjing terbaik.
"Pemilihan anjing ini akan mengikut disiplin operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan hutan, bandar seperti runtuhan bangunan, anjing pengesan kebakaran dan di dalam air," katanya pada Isnin.
Beliau ditemui pada Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri JBPM Negeri Sembilan di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 di sini.
Beliau berkata, JBPM mempunyai 34 ekor anjing K9 dan kini hanya tinggal 20 ekor dengan kali terakhir pembelian pada 2017 membabitkan 12 ekor.
"Penggantian ini merupakan satu keperluan memandangkan sebahagian anjing ini sudah melebihi umur 12 tahun, serta tidak boleh melakukan kerja secara maksimum.
"Dengan penggantian ini ia dapat meningkatkan lagi keberkesanan operasi melalui latihan diberikan selama enam bulan dan disasarkan boleh bekerja seawal usia lapan bulan ke setahun," katanya.
Selain itu katanya, JBPM turut dalam proses tender pembelian 30 jentera kebakaran, selain 200 kenderaan bagi tujuan logistik.
Penambahan aset turut merangkumi proses tender pembelian 26 kenderaan penyiasatan kebakaran serta enam unit untuk kegunaan pasukan unit anjing pengesan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


