'Nak kena cari RM2.5 juta pula. Korek tabung vaksinlah jawabnya' - Ustaz Abu Syafiq

Ustaz Abu Syafiq (kiri), Laporan Sinar Harian pada 18 April 2024
Ustaz Abu Syafiq (kiri), Laporan Sinar Harian pada 18 April 2024
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas kalah saman fitnah terhadap bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, seorang pendakwah bebas masih cuba berseloroh dengan mengatakan beliau akan mengorek 'tabung vaksin' untuk membayar ganti rugi RM2.5 juta.

Kenyataan itu dikeluarkan individu lebih dikenali Ustaz Abu Syafiq menerusi laman sosial Facebook selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkannya membayar jumlah ganti rugi saman fitnah kepada Khairy pada Jumaat.

Hantaran dimuat naik Ustaz Abu Syafiq di Facebook pada Jumaat.
Hantaran dimuat naik Ustaz Abu Syafiq di Facebook pada Jumaat.

Abu Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Raysyid Mohd Alwi berkata, dia kini perlu mencari wang untuk tujuan pembayaran terbabit dan menganggap keputusan mahkamah berkenaan adalah sebagai ujian ALLAH SWT.

"Allhamdulillah untuk diri sendiri. Hendak kena cari RM2.5 juta pula. Korek tabung vaksinlah jawabnya. Baik...baik. Nanti saya akan cari," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mohd Raysyid turut menyatakan rasa syukur serta bersedia menghadapi ujian itu susulan keputusan kes memihak kepada bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Terdahulu, Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Khairy terhadap pendakwah tersebut berhubung kenyataan berkaitan pandemik Covid-19 dan program vaksinasi kerajaan.

Mahkamah turut memutuskan bahawa plaintif layak menerima ganti rugi am berjumlah RM2 juta iaitu RM250,000 bagi setiap lapan kenyataan fitnah yang dikeluarkan defendan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk berjumlah RM500,000 turut diperintahkan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.5 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!