PRK Ayer Kuning: Polis siasat dua kes khianat poster parti

NOOR HISAM
NOOR HISAM
A
A
A

TAPAH - Sebanyak tujuh laporan diterima polis sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, daripada jumlah itu, dua kertas siasatan telah dibuka melibatkan kes khianat poster parti yang berlaku di Tapah Road pada Isnin.

"Lima laporan polis itu telah diklasifikasikan sebagai No Offence Disclosed (NOD) atau tiada kesalahan dikenal pasti.

"Dua sahaja dibuka kertas siasatan melibatkan kes conteng poster dengan unsur jelik dan cabut bendera parti yang diterima di Balai Polis Tapah Road," katanya selepas meninjau Pusat Mengundi di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor pada Selasa.

Noor Hisam (dua dari kanan) bergambar bersama pegawai dan anggota Batalion 3 PGA Bidor yang selesai membuang undi pada Selasa.
Noor Hisam (dua dari kanan) bergambar bersama pegawai dan anggota Batalion 3 PGA Bidor yang selesai membuang undi pada Selasa.

Bagaimanapun, menurut beliau, tiada tangkapan dibuat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, Noor Hisam turut mengingatkan kepada semua yang terlibat dalam berkempen untuk mengelakkan daripada menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum) serta menimbulkan sebarang provokasi.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan perjalanan kempen PRK dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama.

"Diharapkan momentum aman ini kekal sehingga hari pengundian Sabtu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!