PRK Ayer Kuning: 90.4 peratus tunai tanggungjawab undi awal setakat tengah hari

Proses pengundian awal hari ini melibatkan dua pusat pengundian iaitu di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini yang dibuka serentak, 8 pagi tadi.
Bagaimanapun, pusat pengundian di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan IPD Tapah yang melibatkan 24 anggota polis dan pasangan ditutup pada 12 tengah hari tadi, sementara pusat pengundian di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3, PGA Bidor akan ditutup, 5 petang ini.
Proses pengundian awal di tiga saluran itu melibatkan 500 anggota polis dan pasangan mereka.
PRK DUN Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
Sementara itu, ketiga-tiga calon juga dilihat meluangkan masa meninjau proses pengundian tersebut.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun turut hadir ke Dewan Rekreasi Pegawai Kanan Batalion 3, PGA Bidor bagi meninjau proses pengundian awal, kira-kira 9 pagi tadi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
