Rancangan RNS masih diteruskan

IPOH - Perancangan Projek Royal Nature Scholar (RNS) bagi mengukuhkan status Kuala Kangsar sebagai Bandar Diraja telah disepadukan dalam matlamat Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kuala Kangsar 2035.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, RNS merupakan cetusan inisiatif pembangunan bandar Kuala Kangsar yang dihasratkan oleh mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid pada tahun 2020.
Menurutnya, inisiatif itu juga bertujuan mengekalkan identiti Kuala Kangsar sebagai Bandar Ilmu melalui kewujudan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) serta institusi-institusi pendidikan unggul seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Madrasah Idrisiah.
"Perancangan Projek RNS ini telah disepadukan dalam matlamat RTD Kuala Kangsar 2035 yang telah diwartakan secara rasmi pada 16 Mac 2023.
"Ia akan menjadi rujukan utama bagi pembangunan dan pemajuan daerah Kuala Kangsar untuk tempoh 10 tahun," katanya ketika menjawab soalan Berhanuddin Ahmad (PN-Manong) ketika sesi soalan lisan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Selasa.
Saarani berkata, RTD tersebut menetapkan visi menjadikan Kuala Kangsar sebagai Daerah Warisan Hijau Sejahtera.
Jelasnya, pemeliharaan alam semula jadi, pengukuhan status Bandar Diraja dan pengekalan identiti Bandar Ilmu terus diberi penekanan dalam perancangan pembangunan daerah tersebut.
Menurutnya, kesemua elemen RNS tersebut masih diberi perhatian sesuai dengan karektor, aset dan sumber sedia ada yang ditambah nilai dari semasa ke semasa.
Sementara itu, mengenai perancangan pembangunan ekonomi pesisir sungai khususnya di Manong, Saarani menjelaskan Rancangan Struktur Negeri Perak 2040 dan RTD Kuala Kangsar 2035 telah menetapkan Pengukuhan Koridor Pertanian Manong-Beruas-Parit.
Beliau berkata, ia sebagai strategi utama pembangunan yang memfokuskan pertanian, penternakan dan perikanan berteknologi tinggi.
Katanya, kelebihan struktur muka bumi dan sumber alam semula jadi yang diperoleh dari Sungai Perak telah menjadikan kawasan Manong sangat berpotensi dalam sektor pertanian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

