Kontrak Datuk Bandar Ipoh tidak disambung

TAPAH - Kontrak Datuk Rumaizi Baharin sebagai Datuk Bandar Ipoh yang akan tamat dalam masa terdekat tidak lagi disambung.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia berikutan tempoh perkhidmatan Rumaizi sebagai Datuk Bandar sudah mencapai lima tahun.
Menurutnya, sehubungan itu, kerajaan negeri menghantar cadangan nama calon pengganti kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Penjawat awam Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) boleh dipinjamkan untuk lima tahun maksimum.
"Walaupun kita sudah hantar cadangan kepada JPA untuk disambung tetapi mereka tidak setuju," katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Merdeka Tapah di sini pada Khamis.
Saarani berkata, calon Datuk Bandar bukan hanya daripada kerajaan negeri tetapi turut dicadangkan JPA juga.
Pada 1 April 2020, Rumaizi dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh menggantikan Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim yang dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.
Rumaizi berusia 50 tahun merupakan anak jati Ipoh berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Utara Malaysia sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Pentadbiran dan Pengurusan Tanah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Sementara itu, mengenai Program Hari Bertemu Pelanggan, Saarani berkata, sebanyak 98 pelbagai aduan diterima daripada orang ramai.
Menurutnya, sejak siri pertama dilaksanakan tahun ini, sebanyak 138 aduan diterima dengan 118 berjaya diselesaikan.
Beliau berkata, dalam tempoh tersebut, hanya 20 aduan masih dalam tindakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!