Arab Saudi intai bidaan ragbi Piala Dunia

TUAN rumah bola sepak Piala Dunia 2034, Arab Saudi dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk membida penganjuran temasya ragbi edisi 2035 biarpun sukan tersebut masih berada pada tahap awal pembangunan di negara berkenaan.
Menteri Sukan Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal berkata, kerajaan negara itu serius untuk mengembangkan sukan ragbi di peringkat tempatan, telah mengambil langkah awal dengan menubuhkan sebuah persekutuan khusus bagi tujuan tersebut.
“Kami berminat terhadap sukan ragbi dan berhasrat membangunkannya di dalam negara. Oleh itu, kami telah menubuhkan sebuah persekutuan untuk meneroka potensi pembangunan sukan ini.
“Saya tidak fikir kami sudah bersedia menjadi tuan rumah buat masa ini, namun tahun 2035 masih 10 tahun lagi. Sekiranya sukan ini berkembang dan berjaya menarik minat rakyat, maka kenapa tidak?” katanya.
Laporan media bulan lalu turut mendedahkan bahawa Arab Saudi berkemungkinan mengemukakan bidaan bersama dengan Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi menganjurkan ragbi Piala Dunia 2035 atau 2039.
Presiden Ragbi Asia (AR), Qais Al Dhalai dari UAE, melihat kerjasama antara ketiga-tiga negara Teluk itu sebagai suatu idea yang berpotensi besar.
“Penganjuran secara bersama boleh menjadi satu kisah kejayaan serta mencipta model baharu dalam dunia ragbi. UAE, Qatar, Arab Saudi, mengapa tidak?
“Kemudahan stadium sudah tersedia. Ini mungkin menjadi kejohanan paling berjaya dalam sejarah ragbi,” ujarnya.
Untuk rekod, UAE kini berada di kedudukan ke-49 dunia dalam ranking ragbi, Qatar di tangga ke-87, manakala Arab Saudi belum tersenarai dalam kelompok 113 terbaik dunia.
Edisi ragbi Piala Dunia seterusnya dijadual berlangsung di Australia pada 2027, diikuti Amerika Syarikat pada tahun 2031.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
