Ismanira dibawa ke mahkamah untuk pengakuan bersalah sebelum dituduh abaikan anak

Zaim Ikhwan (kanan) dan Ismanira (dua, kiri) hadir bagi sambung bicara atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Isnin. Foto Bernama
Zaim Ikhwan (kanan) dan Ismanira (dua, kiri) hadir bagi sambung bicara atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Isnin. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pegawai penyiasat kanan memaklumkan Mahkamah Sesyen di sini bahawa ibu kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin, dibawa ke Mahkamah Majistret pada 12 Jun 2024 untuk prosiding pengakuan bersalah, sebelum didakwa atas kesalahan pengabaian anak.

Asisten Superintenden Mohd Hafizee Ismail, 38, berkata demikian ketika perbicaraan kes membabitkan pasangan suami isteri, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, yang berdepan pertuduhan mengabaikan anak mereka dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Semasa membaca pernyataan saksi, pegawai polis yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Januari 2013 itu berkata, Ismanira dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada jam 9 pagi, 12 Jun 2024 bagi prosiding pengakuan bersalah di hadapan majistret di bawah Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-28 itu berkata, keesokan hari, pada jam 4 petang, beliau menerima arahan agar pasangan terbabit dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Ia susulan, Ismanira telah dibawa keluar dari lokap untuk proses lakonan semula pada jam 9 pagi, 10 Jun 2024.

“Kemudian saya arahkan pasukan D6 Bukit Aman untuk merakam proses lakonan semula tersebut,” katanya yang ketika kejadian bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Kenyataan itu dibantah oleh pihak pendakwaan, Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh namun pernyataan berkenaan dibenarkan untuk dibacakan di mahkamah oleh Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Mohd Hafizee yang kini bertugas sebagai Pegawai Risikan dan Operasi di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan turut memaklumkan bahawa hasil siasatan mendapati rakaman CCTV pada 5 Disember 2023, jam 12.13 tengah hari, menunjukkan kelibat seorang kanak-kanak berbaju putih berjalan dalam saluran air menuruni terowong.

Artikel Berkaitan:

Rakaman yang diperoleh daripada kakitangan Badan Pengurusan Bersama (JMB) itu menunjukkan susuk tubuh kanak-kanak itu berpatah balik, keluar daripada terowong menghala ke saluran air.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pengabaian pada anak mereka di Mahkamah Sesyen di sini.

Mengikut pertuduhan pindaan, pasangan itu didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan, antara jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 dan jam 9.55 malam, keesokkannya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, jam 10 malam.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan hari ke-17 di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh bersambung 2.30 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!