KDN cadang guna MyDigital ID secara meluas

Saifuddin ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM di Stadium Titiwangsa pada Isnin. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Saifuddin ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM di Stadium Titiwangsa pada Isnin. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan penggunaan identiti digital, MyDigital ID diperluaskan dalam semua urusan pembayaran saman trafik.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun penggunaan MyDigital ID masih tidak diwajibkan, namun perkara itu termasuk dalam dasar kerajaan bagi memudahkan orang ramai.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju melakukan pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 bagi membolehkan penggunaan MyDigital ID dilaksanakan secara lebih meluas.

Menurutnya, pelaksanaan perkara itu juga bagi memastikan peningkatan penggunaan aplikasi tersebut pada masa akan datang.

"Perkara ini masih dalam peringkat cadangan dan belum diluluskan di Parlimen.

"Kita menggalakkan mereka (pengguna) menggunakan aplikasi itu bagi mengesahkan identiti dalam satu urusan," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Titiwangsa pada Isnin.

Saifuddin meluangkan masa bertemu pengunjung sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM di Stadium Titiwangsa pada Isnin. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR
Saifuddin meluangkan masa bertemu pengunjung sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM di Stadium Titiwangsa pada Isnin. Foto Sinar Harian - ASRIL ASWANDI SHUKOR

Dalam majlis sama, Saifuddin menyerahkan sumbangan kepada petugas dan ahli keluarga PDRM yang kurang bernasib baik.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, semua urusan membabitkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) selepas ini akan mengutamakan orang ramai yang berdaftar dengan MyDigital ID.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika sebelum ini JSPT bermurah hati memberi tawaran diskaun saman sehingga 50 peratus, namun bagi mereka yang memiliki aplikasi itu akan diberikan lebih.

"Tawaran diskaun menerusi MyDigital ID mungkin sehingga 55 peratus.

"Untuk mendaftar MyDigital ini mudah sahaja hanya menggunakan telefon bimbit dan sekejap sahaja proses pendaftaran," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!