Kenyataan Abdul Hadi luar konteks, timbulkan kekeliruan - PKR

Amidi
Amidi
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyelar kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kemenangan politik lebih diutamakan berbanding ibadah haji dan umrah.

Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama (JPPA) PKR, Amidi Abdul Manan berkata, tindakan Ahli Parlimen Marang mengaitkan keutamaan tersebut dengan hujah perjuangan Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiyah disifatkan luar konteks dan menimbulkan kekeliruan.

Menurutnya, ia juga didakwa sebagai salah satu cubaan mengkafirkan calon UMNO yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

“Pada beliau (Abdul Hadi), jemaah haji Malaysia yang menjadi pengundi di PRK Ayer Kuning wajar menangguhkan pemergian mereka ke tanah suci kerana undian dalam PRK lebih utama dari melaksanakan ibadah haji.

“Benarkah pemikiran yang sedemikian? Pertembungan dalam pilihan raya disamakan dengan perang Rasulullah SAW menentang kafir Quraisy?

“Atau Abdul Hadi sekali lagi mengkafirkan calon UMNO yang bertanding?” soalnya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, media melaporkan Abdul Hadi memberi signal supaya masyarakat Islam di negara ini memberi keutamaan pada kemenangan politik berbanding hasrat menunaikan ibadah haji atau umrah.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Marang ketika menyampaikan ucapan dalam Ceramah Mega PRK DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, Tapah.

Ujar Amidi, ⁠UMNO dan Pakatan Harapan (PH) tidak pernah memusuhi Islam malah, kedua-duanya mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) dan PH juga melafazkan sumpah yang sama dengan Abdul Hadi dalam konteks berkenaan.

Mengulas mengenai sejarah perjuangan Rasulullah SAW, Amidi berkata, pada bulan Zulkaedah tahun keenam hijrah, Rasulullah SAW bersama para sahabat telah bertolak ke Makkah bagi menunaikan umrah atau ziarah Baitullah.

“Abdul Hadi terlupa bahawa bulan Zulkaedah merupakan bulan haram berperang dalam budaya masyarakat di Jazirah Arab ketika itu.

“Atas pertimbangan tersebut, Rasulullah SAW memberikan mesej jelas kepada para pengintip Quraisy Makkah, bahawa tujuan Baginda ke Makkah bukan hendak berperang tetapi menunaikan ibadah umrah atau ziarah Baitullah.

“Mengatakan bahawa Rasulullah SAW mendahulukan kemenangan politik berbanding melaksanakan umrah atau haji adalah dakwaan yang mengelirukan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!