Utamakan politik berbanding haji: Jakim, JMWP teliti kenyataan Abdul Hadi

SHAH ALAM - Semua pihak diingatkan agar sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan menyentuh hal berkaitan agama agar tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Ia susulan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Ahad yang menekankan kemenangan politik lebih utama berbanding ibadah haji atau umrah.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya sedang dalam tindakan meneliti kenyataan tersebut bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) dan pihak berkuasa berkaitan.
“Ia bagi memastikan umat Islam memahami dengan jelas kedudukan ibadah umrah dan haji dalam Islam, menghayatinya berdasarkan panduan syarak serta tidak disalah tafsir,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, media melaporkan Abdul Hadi memberi signal supaya masyarakat Islam di negara ini memberi keutamaan pada kemenangan politik berbanding hasrat menunaikan ibadah haji atau umrah.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Marang ketika menyampaikan ucapan dalam Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, Tapah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

