MIP sokong Akta PSB, gesa pelaksanaan inklusif

KUALA LUMPUR – Institut Perancang Bandar Malaysia (MIP) menyatakan sokongan terhadap inisiatif kerajaan memperkenalkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) sebagai langkah penting untuk memperkasa pembangunan semula kawasan bandar usang secara mampan dan menyeluruh.
Menurut kenyataan badan profesional itu, pelaksanaan akta berkenaan mesti berpaksikan pendekatan praktikal serta melibatkan penyertaan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan, khususnya komuniti tempatan dan pemilik hartanah.
“MIP menyambut baik usaha kerajaan ini dan mengiktiraf keperluan kepada satu kerangka pelaksanaan yang bukan sahaja mampu melancarkan pembaharuan bandar, malah menjamin kebajikan komuniti serta keberkesanan pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
MIP turut menegaskan bahawa pelaksanaan PSB mesti mengambil kira keunikan landskap pembangunan bandar di Malaysia, khususnya melibatkan pemilikan strata dan perundangan tanah sedia ada.
Mengulas lanjut, MIP melihat pembaharuan bandar bukan sekadar usaha membaik pulih kawasan terbiar, sebaliknya peluang untuk meningkatkan taraf hidup penduduk setempat secara holistik.
“Akta ini seharusnya diselaraskan dengan matlamat perancangan bandar yang lebih luas seperti penambahbaikan kemudahan awam, infrastruktur dan kesejahteraan komuniti.”
MIP turut menghargai komitmen kerajaan dalam menjaga hak pemilik tanah dan harta, namun menggesa supaya proses dialog bersama pemegang taruh dilaksanakan secara berterusan dan inklusif agar keyakinan rakyat terus terpelihara.
Dalam pada itu, MIP mencadangkan agar garis panduan berkaitan persetujuan antara pemilik hartanah diperkemaskan agar pelaksanaan pembangunan semula lebih teratur dan cekap.
“Sebarang kelewatan dalam pembangunan semula memberi kesan negatif kepada impak sosial dan ekonomi, terutamanya terhadap pemilik strata dan komuniti yang terlibat,” kata kenyataan itu.
MIP juga mengesyorkan pelaksanaan penilaian menyeluruh seperti Penilaian Impak Sosial (SIA), Warisan (HIA) dan Alam Sekitar (EIA) agar kesan jangka panjang pembangunan dapat ditangani secara lestari.
Dalam konteks perundangan, MIP mencadangkan agar mekanisme penyelesaian pertikaian dinyatakan secara jelas dalam Akta PSB sebagai panduan kepada pemilik hartanah yang mungkin tidak bersetuju dengan pelaksanaan projek.
Akhir sekali, MIP mencadangkan kawasan pembaharuan bandar dimasukkan dalam Rancangan Tempatan atau Rancangan Kawasan Khas selaras dengan peruntukan Akta 172 bagi memastikan penyelarasan menyeluruh antara pihak berkuasa perancang.
“MIP kekal komited untuk bekerjasama erat dengan PLANMalaysia dan kerajaan dalam memastikan PSB dilaksanakan dengan cara yang memberi manfaat besar kepada komuniti, bandar dan negara secara keseluruhannya,” jelas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

