PRK Ayer Kuning: DAP Pulau Pinang turun padang, bantu calon BN

BUKIT MERTAJAM - DAP Pulau Pinang akan turun padang dan memberi kerjasama penuh untuk membantu calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning nanti.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong berkata, DAP telah melantik Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Wong Kah Woh sebagai Pengarah Pilihan Raya untuk menguruskan semua urusan berkempen di PRK berkenaan.
"Kah Woh telah menugaskan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee sebagai Penyelaras DAP bagi PRK Ayer Kuning. Jadi kita akan menerima arahan daripada pejabat penyelarasan untuk kerja-kerja kempen dan sebagainya.
"Saya sendiri sudah mendapat jemputan untuk memberi ucapan dan kita akan turun membantu.
"Untuk DAP Pulau Pinang, kita tiada masalah untuk memberi bantuan atau sokongan kepada kempen di PRK Ayer Kuning," katanya ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Pulau Pinang di sini pada Ahad.
Ketika ditanya mengenai peluang gabungan Kerajaan Perpaduan untuk meraih undi masyarakat Cina, Steven berkata, DAP Pulau Pinang akan melakukan yang terbaik untuk berkempen demi gabungan perpaduan dan memastikan kemenangan di PRK berkenaan.
“Saya belum berada di sana (Ayer Kuning), saya akan mendapatkan maklumat tambahan daripada penyelaras pilihan raya kecil kami di sana,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
BN selaku parti penyandang mempertaruhkan Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir.
Bekas guru dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh berusia 54 tahun itu dicabar Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44, mewakili PN dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 40.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
SPR menetapkan tempoh 14 hari berkempen dengan pengundian awal PRK tersebut pada 22 April manakala 26 April sebagai hari mengundi.
Terdahulu, kira-kira 1,000 tetamu termasuk pemimpin negeri menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan oleh DAP negeri.
Antara tetamu yang hadir ialah Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dan Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang, Daniel Gooi.
Turut hadir ialah Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying, Setiausaha Publisiti Pulau Pinang, Joshua Woo serta pemimpin bahagian parti dari gabungan Kerajaan Perpaduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

