Agensi terlibat penipuan haji bakal hilang lesen serta-merta - Mohd Na’im

SHAH ALAM - Agensi pakej haji dan umrah yang berdaftar tetapi didapati terlibat dalam penipuan akan dikenakan tindakan pembatalan lesen serta merta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa ejen yang berlesen tetapi menyalahgunakan kepercayaan jemaah.

"Lesen mereka telah dibatalkan dan tindakan lanjut sedang diambil.
"Kes melibatkan penipuan ini bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa, malah mencemarkan nama baik institusi ibadah haji itu sendiri," katanya selepas Majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor 1446 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Ahad.
Terdahulu beliau turut menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang yang mahu kerajaan serius menangani penipuan pakej haji dengan lebih serius.
Mohd Na'im menjelaskan, tindakan itu diambil melalui kerjasama strategik antara Lembaga Tabung Haji (TH), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut beliau, tindakan itu bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab yang memperdaya umat Islam dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
“Kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji akan bertindak segera ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam penipuan ini," katanya.
Menurut Mohd Na’im, promosi haji palsu yang disebarkan menerusi platform digital kini menjadi trend yang membimbangkan dan memerlukan pemantauan bersama oleh semua pihak berkuasa.
"Kita tidak boleh biarkan umat Islam terus menjadi mangsa.
"Penipuan ini bukan sahaja melibatkan wang ringgit, malah memberi kesan kepada ibadah suci umat Islam yang terpedaya," tambah beliau.
Dalam masa sama, beliau turut meminta orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sama ada agensi yang dihubungi memiliki lesen sah.
"Tolong semak dahulu sebelum bayar dan semakan mudah boleh dilakukan, misalnya umrah di bawah sistem Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dan bagi haji, hanya 37 Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diberi lesen oleh Tabung Haji," ujar beliau.
Terdahulu, Sultan Selangor menitahkan umat Islam tidak menganiaya orang lain dengan mengambil kesempatan menawarkan pakej-pakej haji palsu semata-mata untuk mengaut keuntungan.
Sultan Selangor bertitah, mengaut keuntungan secara menipu dan memperdayakan umat Islam adalah perbuatan keji.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

