Sultan Selangor titah henti tipu pakej haji

Sultan Sharafuddin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang jemaah pada Majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor 1446 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Ahad.
Sultan Sharafuddin menyampaikan sumbangan kepada salah seorang jemaah pada Majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor 1446 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap penipuan berkaitan pakej haji palsu dan menitahkan agar umat Islam tidak mengambil kesempatan dengan menindas sesama sendiri demi keuntungan duniawi.

Baginda menegaskan bahawa perbuatan menipu umat Islam melalui penawaran pakej haji palsu adalah perbuatan keji dan berdosa besar.

“Ingatlah, agama Islam melarang umatnya menipu. Allah SWT akan membalas segala dosa mereka yang memperdaya orang lain,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor 1446 Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, pada Ahad.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin menyeru kerajaan agar memandang serius penularan penipuan membabitkan ejen-ejen tidak bertauliah yang menawarkan pakej haji palsu.

“Beta berharap pada masa akan datang tiada lagi kes jemaah haji yang ditipu oleh ejen-ejen tidak sah ini,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan semua agensi pelancongan dan pengurusan haji di Selangor supaya mematuhi segala undang-undang dan peraturan serta mendapatkan lesen sah daripada pihak berkuasa seperti Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Beta juga menasihati para jemaah haji agar mematuhi undang-undang kerajaan Malaysia dan kerajaan Arab Saudi agar sentiasa berada dalam keadaan aman dan terhindar daripada sebarang masalah,” titah baginda.

Baginda memaklumkan bahawa secara keseluruhan, jemaah haji Malaysia termasuk dari Selangor terkenal sebagai golongan yang berdisiplin dan mematuhi peraturan kerajaan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

“Beta berharap tuan-tuan dan puan-puan akan terus menjaga disiplin dan nama baik negeri serta negara semasa di Tanah Suci. Fokus kepada ibadah dan elakkan sebarang bantahan atau demonstrasi yang boleh mendatangkan masalah,” titah Sultan Sharafuddin lagi.

Dalam pada itu, baginda turut menasihatkan bakal jemaah agar menjaga kesihatan fizikal dan tidak berlengah mendapatkan rawatan sekiranya berdepan masalah kesihatan sepanjang berada di Tanah Suci.

“Ibadah haji menuntut ketahanan fizikal yang tinggi kerana ia melibatkan pergerakan yang banyak dan mencabar. Jika tidak sihat, ia boleh menjejaskan ibadah. Segeralah mendapatkan rawatan di klinik Tabung Haji sekiranya mengalami sebarang masalah kesihatan,” titah baginda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!