BeBAs beri impak positif, premis makanan kini lebih bersih dan selamat

PUTRAJAYA – Hanya 22 notis kesalahan dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sejak pelaksanaan inisiatif Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) bermula Februari tahun lalu.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 88.8 peratus berbanding 197 notis yang direkodkan sebelum inisiatif tersebut dilaksanakan.
Katanya, sebelum ini kawasan seperti Kota Bharu, Kelantan dan Jalan Alor, Kuala Lumpur mencatatkan jumlah kesalahan tertinggi berkaitan pelanggaran larangan merokok di kawasan awam.
“Penurunan ini membuktikan keberkesanan inisiatif BeBAs dalam meningkatkan tahap kesedaran serta pematuhan masyarakat terhadap undang-undang baharu demi menjaga kesihatan awam,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif BeBAs dilakukan secara berperingkat bagi memberi ruang kepada pengusaha premis dan masyarakat menyesuaikan diri dengan peraturan baharu di bawah Akta 852.
Sementara itu, sebanyak 13,307 premis makanan di seluruh negara telah menerima pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS) sehingga Disember 2024, selaras dengan peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 281).
Program BeSS dilihat berjaya memperkasakan pemilik premis makanan dalam mengekalkan tahap kebersihan yang tinggi serta meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan makanan yang disediakan.
Secara keseluruhan, pelaksanaan Akta 852 dan inisiatif BeBAs membawa pelbagai manfaat, termasuk peningkatan kualiti udara di tempat awam, perlindungan kesihatan masyarakat daripada bahaya asap rokok pasif serta menyokong matlamat jangka panjang negara melahirkan generasi bebas rokok dan vape.
Langkah itu turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh dasar kesihatan awam dan meningkatkan mutu kehidupan rakyat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!