Curi pakaian dalam bukan perbuatan ‘suka-suka’

KES individu yang mencuri pakaian dalam wanita, bukan lagi sesuatu yang asing dan perkara baru dalam laporan media.
Walaupun ia kedengaran pelik, hakikatnya perbuatan terbabit memberi gambaran bahawa pelaku mempunyai gangguan jiwa serius dan ia juga satu kesalahan jenayah.
Terbaharu, tular kes seorang lelaki mencuri sejumlah pakaian dalam wanita termasuk milik seorang nenek di Kampung Baru Rasah, Seremban, Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, tindakan lelaki terbabit akhirnya membawa padah apabila wajahnya dirakam kamera litar tertutup (CCTV), lalu ditahan polis pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, mengesahkan suspek berusia 40-an itu telah ditahan selepas hadir ke balai polis untuk menyerah diri.
Mangsa hanya ingin dikenali sebagai Che Lai, 27, mendakwa kehilangan pakaian dalamnya di ampaian bukan kejadian pertama tetapi sudah beberapa kali berlaku termasuk ketika neneknya masih hidup.
Mangsa tidak mengambil serius tentang kehilangan pakaian dalam mendiang neneknya, sehinggalah dia dan kakaknya pula berdepan situasi sama apabila hilang tujuh helai secara serentak.
Situasi terbabit bukanlah perkara biasa dan sekadar perbuatan ‘nakal’ atau ‘suka-suka’, sebaliknya mungkin petanda individu terbabit mempunyai masalah psikologi.
Lebih penting, kita tidak boleh lagi menganggap ini sebagai remeh, apatah lagi tindakan lelaki itu memberhentikan lorinya di tepi rumah mangsa sebelum melompat masuk ke dalam pagar rumah dan mencuri pakaian dalam di ampaian yang kemudian dimasukkan ke dalam bajunya merupakan satu bentuk pencerobohan.
Isu pakaian dalam wanita mungkin nampak kisah melucukan bagi sesetengah pihak, namun sudah tiba masanya isu-isu seperti itu dibincang secara terbuka bukan untuk memalukan, tetapi bagi mencari penyelesaian.
Kes ini menunjukkan keperluan kepada pendidikan seksual yang holistik bukan sekadar soal tubuh badan tetapi juga tentang batas pergaulan, rasa hormat terhadap privasi dan keizinan.
Jangan tunggu sehingga sesuatu yang dianggap biasa-biasa berubah menjadi tragedi, kerana gangguan yang bermula sekecil sehelai pakaian dalam boleh menjadi petanda kepada masalah mental yang jauh lebih besar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

