'Pakaian dalam nenek pun kena curi'

SEREMBAN - Tanda tanya seorang wanita mengenai pakaian dalamnya yang sering kali hilang di ampaian akhirnya terjawab apabila kamera litar tertutup (CCTV) rumahnya di Kampung Baru Rasah di sini berjaya merakam perbuatan seorang lelaki.
Dalam kejadian terbaharu pada Selasa, lelaki terbabit dilihat memberhentikan lorinya di tepi rumah mangsa sebelum melompat masuk ke dalam kawasan rumah.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Cik Lai, 27, berkata, kejadian kehilangan pakaian dalam di rumahnya bukanlah pertama kali berlaku.
"Masa mendiang nenek masih hidup, pakaian dalam dia yang dijemur di garaj pun pernah hilang, tapi ketika itu kami tak ambilnya secara serius.
"Saya mula perasan bila tengok pakaian dalam saya dan kakak yang dijemur kerap hilang dan pernah sehingga tujuh helai sekali gus," katanya pada Rabu.
Disebabkan itu katanya, dia mengambil inisiatif memasang CCTV di rumah bagi merungkai identiti si pelaku.

Jelasnya, kejadian pertama berjaya dirakam pada 31 Januari lalu menunjukkan suspek memandu Proton Wira meninjau di kawasan berhampiran rumah dahulu sebelum datang semula untuk melakukan perbuatan tersebut.
"Apa yang mengejutkan, suspek langsung tidak menutup mukanya.
"Kejadian terbaharu pada semalam(Selasa) jam 4.30 petang yang jelas menunjukkan suspek melompat masuk ke dalam pagar rumah dan mencuri pakaian dalam di ampaian yang kemudian dimasukkan ke dalam bajunya," katanya yang pernah membuat laporan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu dan usaha mengesan suspek sedang dilakukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

