PN sambut baik titah Sultan Pahang, mahu isu pencerobohan dinoktahkan

KUANTAN – Perikatan Nasional (PN) Pahang menyambut baik ketegasan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan teguran agar tiada pihak mempertahankan golongan melanggar undang-undang dalam kes pencerobohan hutan simpan.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, teguran itu adalah isyarat jelas supaya perkara itu tidak lagi berulang dan perlu ditangani secara tuntas.
“Ketegasan Tuanku memberi teguran agar jangan ada pihak mempertahankan golongan melanggar undang-undang dalam kes pencerobohan hutan simpan, merupakan teguran langsung agar perkara ini tidak berulang.
“Pencerobohan ini telah berlaku dalam tempoh yang lama, namun apa yang penting baginda bertegas agar menoktahkan pencerobohan dengan pelbagai tanaman seperti durian, sawit, getah dan sebagainya.
“Rompakan terbuka ini merugikan hasil negeri di samping merosakkan ekosistem dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka berkata, Al-Sultan Abdullah turut menyentuh soal ketirisan hasil negeri seperti kadar air tidak berhasil (NRW) yang tinggi, hasil bumi seperti emas, bijih, unsur nadir bumi (REE) dan perlombongan haram serta penyalahgunaan lesen.
“Kami melihat suatu amanat Tuanku kepada pentadbir tanah daerah sebagai perisai dan benteng akhir negeri daripada pencerobohan.
“Selain soal pencapaian negeri dalam sektor pelaburan, tanah Rizab Melayu perlu dipertahan dan dibuat penambahan lagi,” katanya.
Tuan Ibrahim turut memaklumkan Sultan Pahang turut meminta supaya projek tebatan banjir yang telah diluluskan oleh kerajaan Persekutuan dapat dipercepatkan.
“Baginda menggesa projek lembangan sungai bersepadu dan Rancangan Tebatan Banjir yang telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan segera dipercepatkan pembinaanya.
Tambah beliau, Al-Sultan Abdullah juga menekankan keperluan memperkukuhkan sistem perundangan dan syariah Islam termasuk menaik taraf Mahkamah Syariah dengan penggunaan teknologi moden.
“Baginda juga menyentuh soal pengukuhan sistem perundangan dan syariat Islam, menaik taraf mahkamah syariah dengan penggunaan teknologi moden.
“Di samping meningkatkan usaha dakwah bagi membendung ajaran sesat yang mudah disebar melalui pelbagai media baru kini,” katanya.
Tuan Ibrahim memaklumkan perbahasan Titah Diraja akan berlangsung mulai Isnin hingga Rabu depan dengan setiap Ahli Dewan diperuntukkan masa 15 minit.
“Selaku ketua pembangkang, saya telah menggariskan beberapa isu utama yang akan dibangkitkan oleh ADUN PN mengikut portfolio yang telah dibentuk.
“Persidangan yang asalnya selama lima hari, kini hanya tinggal empat hari sebagaimana dimaklumkan oleh Speaker. Kami akan manfaatkan sebaik mungkin masa yang diperuntukkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

