Ustaz Abu Syafiq fitnah KJ diperintah bayar RM2.5 juta

Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan pendakwah Ustaz Abu Syafiq membayar RM2.5 juta kerana memfitnah bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung pandemik Covid-19 dan program vaksinasi kerajaan.
Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan pendakwah Ustaz Abu Syafiq membayar RM2.5 juta kerana memfitnah bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berhubung pandemik Covid-19 dan program vaksinasi kerajaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq, membayar RM2.5 juta kerana memfitnah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berhubung pandemik Covid-19 dan program vaksinasi kerajaan.

Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan, memutuskan demikian selepas membenarkan saman yang dikemukakan Khairy, 49, terhadap Abu Syafiq, atau nama penuhnya Mohd Rasyiq Mohd Alwi, 45.

Semasa prosiding, hakim berkata, Khairy selaku plaintif layak menerima ganti rugi am berjumlah RM2 juta, iaitu masing-masing RM250,000 bagi setiap lapan kenyataan fitnah.

Menurutnya, baki RM500,000 lagi ialah ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, menjadikan jumlah keseluruhan RM2.5 juta.

Ketika membaca keputusan, hakim berkata, Mohd Rasyiq selaku defendan sengaja mengambil kenyataan Khairy di luar konteks, masa dan mengemukakannya dengan cara yang tidak benar serta mengelirukan, demi mencipta naratif palsu.

“Defendan secara tidak bertanggungjawab menimbulkan keraguan dan menyerang plaintif, sedangkan ketika itu rakyat berada dalam ketakutan kerana tidak pernah berdepan dengan virus yang tidak pernah dialami, kecuali dilihat dalam filem-filem.

“Sedangkan ini bukan filem yang boleh direka secara kreatif untuk menghiburkan, sebaliknya realiti yang berlaku sehingga mengundang kematian,” katanya.

Hakim, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah, turut mempersoalkan sama ada tindakan ‘duduk membatu sahaja"’ boleh membantu mencegah kematian sekiranya berlaku krisis yang teruk.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, defendan sepatutnya menyoal diri sendiri dan menilai senario serta fakta dengan betul sebelum membuat kenyataan berunsur fitnah.

“Kes ini sepatutnya menjadi pengajaran kepada defendan dan semua individu supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih serta tidak diprovokasi, terutamanya semasa kita menghadapi krisis hidup mati.

“Selain itu, tindakan defendan menerbitkan gambar salah seorang anak plaintif juga merupakan sesuatu yang tidak boleh dibiarkan.

“Perbuatan itu membahayakan kanak-kanak yang tidak bersalah serta tiada kena-mengena dengan peranan plaintif dalam perjuangan menentang Covid-19,” katanya yang turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM50,000.

Beliau berkata, mahkamah juga mendapati kenyataan berunsur fitnah seperti itu akan melemahkan semangat dan menjejaskan emosi petugas barisan hadapan yang ketika itu diketuai oleh plaintif.

Sebelum membacakan keputusannya, hakim sempat mengucapkan takziah kepada Khairy atas pemergian bapa mentuanya, yang juga Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, pada Isnin lalu.

Khairy telah memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Rasyiq dan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam selaku defendan di Mahkamah Tinggi di sini pada 25 Januari 2022 lalu.

Saman itu dibuat susulan tulisan dalam talian antara 20 Oktober 2021 hingga 10 Januari 2022 berkaitan program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

Saman tersebut difailkan melalui tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari 2022.

Menurut laporan, Khairy menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah supaya status dipertikaikan dipadam serta permohonan maaf di media sosial dan beberapa portal berita.

Dalam pada itu, Mohd Rasyiq menerusi satu hantaran berasingan sebelum itu turut menyatakan bahawa dia akan memadam segala hantaran dan video vaksin berkait dengan bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Bagaimanapun pada 15 April 2024, kes saman terhadap Lokman diselesaikan secara baik apabila beliau bersetuju untuk memohon maaf kepada Khairy dalam tempoh 30 hari selain membayar pampasan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!