Tiada kes jangkitan Covid-19 di Alpinia Bandar Putra

 Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan ada mengeluarkan kenyataan melarang penggunaan padang permainan di kawasan perumahan Alpinia di Bandar Putra dekat Kulai berikutan penularan virus koronavirus (Covid-19).
Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan ada mengeluarkan kenyataan melarang penggunaan padang permainan di kawasan perumahan Alpinia di Bandar Putra dekat Kulai berikutan penularan virus koronavirus (Covid-19).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan ada mengeluarkan kenyataan melarang penggunaan padang permainan di kawasan perumahan Alpinia di Bandar Putra dekat Kulai berikutan penularan virus koronavirus (Covid-19).

JKNJ menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook memaklumkan tiada sebarang kes jangkitan Covid-19 yang dikesan berlaku di kawasan perumahan itu setakat ini.

“Penduduk dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang nasihat Covid-19 tanpa mendapat maklumat yang sahih dari pihak kesihatan sehingga menimbulkan situasi panik atau kebimbangan dalam kalangan penduduk dan menyukarkan pihak kesihatan menjalankan tugas dengan tenang,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini tular di media sosial notis pemberitahuan daripada Persatuan Penduduk Alpinia Bandar Putra Kulai yang memaklumkan terdapat kes jangkitan Covid-19 berdekatan kawasan perumahan itu.

Sehubungan itu, surat berkenaan meminta penduduk supaya mematuhi langkah-langkah keselamatan antaranya mengelak kawasan padang dan taman permainan kanak-kanak sehingga diberitahu dan menangguhkan aktiviti keramaian.

Berikutan itu juga JKNJ menasihat pihak komuniti supaya melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat sekiranya terdapat keraguan berkaitan dengan Covid-19 bagi mendapatkan kepastian yang jelas tentang penyakit itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: