Sin Chew Daily gantung tugas dua editor, silap cetak Jalur Gemilang

Permohonan maaf Sin Chew Daily berikutan kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada Selasa.
Permohonan maaf Sin Chew Daily berikutan kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily menggantung tugas dua editornya susulan kesilapan mencetak ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap dalam edisi muka depan baru-baru ini.

Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Pengarang, Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Penyunting Berita yang tidak dinamakan, dikenakan tindakan tatatertib serta-merta sehingga siasatan dalaman selesai dijalankan.

“Pihak pengurusan Sin Chew Daily mengumumkan keputusan ini berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal sehingga siasatan selesai,” katanya.

Selasa lalu, Sin Chew Daily telah menerbitkan ilustrasi sebuah jong yang memaparkan bendera Malaysia tanpa bulan sabit sempena lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke negara ini.

Perkara itu telah mencetuskan kritikan serta kecaman daripada pelbagai pihak.

Susulan itu, Sin Chew Daily telah memohon maaf atas kesilapan berkenaan dan menerbitkan versi pembetulan dalam edisi keesokan harinya.

Akhbar berkenaan menyifatkan kesilapan tersebut sebagai ‘ralat teknikal’ dan berjanji akan menjalan semakan menyeluruh serta menambah baik prosedur editorial mereka, termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan yang terlibat.

Sementara itu, polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membuka siasatan terhadap akhbar tersebut di bawah Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Khamis memaklumkan, pihaknya telah menyoal siasat timbalan ketua penyunting berita yang mereka bentuk ilustrasi tersebut serta ketua editor yang meluluskannya.

Siasatan ini dijalankan meskipun beberapa kumpulan masyarakat sivil menggesa agar pihak berkuasa tidak menggunakan tindakan keras atau undang-undang lapuk dalam menangani isu berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!