Akhbar berbahasa Cina mohon maaf isu kesilapan ilustrasi Jalur Gemilang
SHAH ALAM – Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, tampil memohon maaf atas kesilapan memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan akhbar itu pada hari Selasa.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, agensi media berkenaan menjelaskan bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi tersebut disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
“Kami berasa amat kesal dan kecewa dengan kekhilafan tersebut. Bagi pihak semua kakitangan Sin Chew Daily, kami menyusun 10 jari memohon jutaan maaf kepada semua rakyat Malaysia.
“Pindaan segera sudah dilakukan terhadap ilustrasi versi digital manakala ilustrasi dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula pada Rabu dalam versi cetakan akhbar kami,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit diletakkan bersebelahan bendera China hingga mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat tempatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

